Sempadan Malaysia-Thailand lengang

Pelancong Malaysia yang baru pulang dari Thailand pagi tadi terpaksa berjalan kaki melepasi Kompleks ICQS memandangkan bas tidak dibenarkan masuk ke sempadan.
Pelancong Malaysia yang baru pulang dari Thailand pagi tadi terpaksa berjalan kaki melepasi Kompleks ICQS memandangkan bas tidak dibenarkan masuk ke sempadan.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kelihatan lengang setelah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula hari ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati warga Thailand yang ingin pulang ke negara mereka menggunakan kenderaan awam terpaksa berjalan kaki kira-kira 2 kilometer apabila kenderaan awam tidak dibenarkan melepasi kompleks berkenaan.

Sebuah bas yang cuba melepasi kompleks berkenaan untuk mengambil penumpang juga diarahkan berpatah balik oleh anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) yang bertugas.

Pemandu bas berkenaan yang dikenali sebagai Fadil berkata, dia perlu mengambil sekumpulan pelancong Malaysia yang bercuti di negara Thailand sejak empat hari lalu.

"Bagaimanapun saya tidak dibenarkan melepasi pos berkenaan dan perlu menunggu pelanggan berdekatan stesen teksi di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, arahan Perintah Kawalan Pergerakan turut memberi kesan kepada pemandu teksi berhampiran kompleks berkenaan apabila mereka tidak mempunyai pelanggan.

Rata-rata mereka dilihat berbual kosong sambil menanti pelanggan yang mungkin memerlukan khidmat mereka.

Ku Hamzah Ku Saad,60, berkata, sepanjang 39 tahun menjadi pemandu teksi, ini adalah kali pertama dia tidak mempunyai pelanggan walaupun sudah menunggu di stesen teksi ICQS sejak jam 5.45 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun saya reda kerana ini adalah demi keselamatan dan kesihatan kita, tetapi saya berharap keadaan ini akan cepat berlalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, kenderaan berat yang membawa makanan dan perubatan sahaja dibenarkan melalui Kompleks ICQS terbabit.

Katanya, pintu sempadan bagi kenderaan perdagangan itu dibuka 24 jam seperti biasa dalam tempoh perintah terbabit.

"Bagaimanapun kenderaan persendirian dan awam seperti teksi dan bas tidak dibenarkan melintasi ICQS dalam tempoh perintah terbabit," katanya.

Tambahnya, tiada halangan bagi warga Thailand yang mahu pulang ke negara mereka, namun mereka tidak dibenarkan kembali semula ke Malaysia.

"Kita tak halang mereka keluar asalkan mempunyai dokumen yang sah, bagi warga Malaysia dan penduduk tetap (PR) Malaysia yang berada di Thailand mereka juga dibenarkan masuk.

"Malah jika ada yang berkahwin dengan orang Malaysia, mereka perlu menunjukkan dokumen berkaitan untuk masuk ke dalam negara," katanya.