Sindiket curi susu celah kelangkang, perut tumpas

Kelicikan sindiket mencuri susu formula bayi dan kanak-kanak dengan taktik menyembunyikannya di perut dan celah kelangkang akhirnya tumpas.
Kelicikan sindiket mencuri susu formula bayi dan kanak-kanak dengan taktik menyembunyikannya di perut dan celah kelangkang akhirnya tumpas.
A
A
A

MELAKA – Kelicikan sindiket mencuri susu formula bayi dan kanak-kanak dengan taktik menyembunyikannya di perut dan celah kelangkang akhirnya tumpas selepas ahli kumpulan itu dicekup polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dilakukan oleh Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hasil risikan selepas menerima dua laporan kecurian susu formula di pasar mini Taman Paya Emas dan Bandar Baru Sungai Udang di sini pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kumpulan yang digelar Sindiket Susu Borneo itu dianggotai empat individu berusia antara 23 hingga 50 tahun termasuk seorang wanita warga Filipina.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket yang berasal dari Sabah itu menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pelanggan bagi mengaburi mata pekerja premis.

Christopher (dua, kiri) menunjukkan susu formula yang dirampas dalam serbuan itu.
Christopher (dua, kiri) menunjukkan susu formula yang dirampas dalam serbuan itu.

Katanya, suspek wanita warga Filipina berusia 50 tahun akan memakai pakaian bersaiz besar bagi memudahkan dia menyembunyikan susu formula di celah kelangkang dan perut.

"Manakala dua lelaki akan bertindak menghalang pandangan orang ramai dengan berdiri di kiri dan kanan lorong rak, seorang lagi menjadi ‘peninjau’ di luar premis.

"Selepas berjaya mengambil barang curi, mereka akan beredar tanpa disedari," katanya ketika sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, di Melaka Baru di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak 2011, malah dalam tempoh seminggu sebelum tangkapan dibuat, mereka telah melakukan 12 kes curi termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Ujarnya, dalam serbuan itu juga polis menemui dan merampas 71 kotak, 15 peket dan 12 tin susu pelbagai jenama terkenal, serta 22 peket minuman dengan nilai keseluruhan RM12,600.

"Turut disita sebuah kereta Mazda CX-5, empat telefon bimbit, pakaian diubah suai, topi, kasut, pita pelekat, plastik sampah dan beg kain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Siasatan turut dijalankan untuk mengenal pasti lokasi penjualan barang curi itu sama ada secara dalam talian atau kepada pembeli tertentu," ujarnya lagi.

Jelasnya, tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes curi dan dadah.

"Semua suspek kini direman sehingga Jumaat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!