Pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bentuk demokrasi matang - Bersih

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemandu Bersih menyifatkan pindaan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (PM) Dewan Rakyat yang diluluskan Selasa lalu sebagai langkah ke hadapan dalam membentuk demokrasi berparlimen yang lebih matang dan berkesan.
Bagaimanapun, Bersih menegaskan masih banyak ruang untuk penambahbaikan, khususnya dalam memperkukuh fungsi semak dan imbang Parlimen.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian pada masa akan datang antaranya jawatankuasa lebih komprehensif yang merangkumi isu tematik.
"Sebagai contoh isu semakan anggaran perbekalan tahunan dan proses pelantikan jawatan utama awam yang patut diambil kira.
"Selain itu, kuasa dan ketelusan Jawatankuasa Pilihan (JKP) patut diangkat sewajarnya yang mana pindaan terbaharu tidak dikembangkan kuasa seperti mengeluarkan sapina dan inkuiri terbuka.
"Dalam masa sama tiada keperluan untuk siaran langsung prosiding seperti amalan semasa di Kamar Utama serta Kamar Khas," katanya pada Khamis.
Selain itu, kata Bersih, peranan pembangkang serta ahli Parlimen persendirian harus diperkasa.
"Seringkali urusan ahli bukan menteri seperti usul dan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian dianaktirikan berbanding urusan kerajaan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM)," katanya.
Pada Selasa, Dewan Rakyat meluluskan pindaan PM tanpa perbahasan, susulan keputusan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat yang bersidang pada 23 Julai 2025.
Pindaan kali terakhir dibuat pada 2023, dan perubahan terbaharu ini merupakan kesinambungan kepada agenda reformasi Parlimen, termasuk pengenalan semula Undang-undang Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang diluluskan awal tahun ini.
Antara intipati terpenting pindaan ini adalah penaiktarafan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berasaskan kementerian sedia ada daripada bersifat sementara atau 'ad hoc' kepada JKP yang berstatus tetap (PM 80B).
Sementara itu, Bersih turut menyarankan kerajaan dan semua ahli Parlimen agar menjadikan pindaan Peraturan Mesyuarat sebagai pemangkin utama kepada reformasi Parlimen yang lebih menyeluruh, seiring autonomi dalam PSA.
"Bersih menggesa reformasi badan legislatif ini disambut juga oleh para Menteri Besar, Ketua Menteri, Premier dan Speaker Dewan Undangan Negeri masing-masing di peringkat negeri supaya tiada kesenjangan yang ketara antara persekutuan dan negeri dalam usaha penambahbaikan institusi terpenting ini.
"Reformasi yang berterusan akan memastikan Parlimen Malaysia benar-benar menjadi institusi yang bebas dan telus," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

