MBAS kesan peniaga pasar Bandar Alor Setar ingkar arahan

Beberapa peniaga pasar di Kampung Berjaya diarah menghentikan perniagaan mereka.
Beberapa peniaga pasar di Kampung Berjaya diarah menghentikan perniagaan mereka.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebilangan peniaga pasar di Bandar Alor Setar didapati masih meneruskan perniagaan seperti biasa walaupun kerajaan melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, susulan itu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengarahkan supaya peniaga pasar terbabit sebagai contoh di Kampung Berjaya di Jalan Putra menghentikan perniagaan mereka hari ini.

"Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 MBAS semalam, kita memutuskan premis perniagaan di bawah MBAS ditutup sepanjang tempoh berkenaan.

"Premis seperti pasar malam, pasar pagi, pasar sehari dan bazar jualan malam (uptown) serta premis perniagaan lain yang tidak menawarkan keperluan harian diminta menutup perniagaan mereka," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Zohdi berkata, hanya medan selera dan sudut selera MBAS dibenarkan operasi untuk jualan bawa pulang dan bungkus sahaja, malah pelanggan tidak dibenarkan makan dan minum di premis makanan.

Jamil menunjukkan nota memaklumkan premisnya hanya membenarkan membeli makanan untuk dibawa pulang ataupun penghantaran sahaja.
Jamil menunjukkan nota memaklumkan premisnya hanya membenarkan membeli makanan untuk dibawa pulang ataupun penghantaran sahaja.

Katanya, pihaknya turut membenarkan pasar awam dan penjaja yang menjual keperluan asas dalam kawasan awam membuka operasi mereka.

Sehubungan itu, katanya penguatkuasa dan pengawas Pasar Majlis akan melaksanakan pemantauan selama 24 jam mengikut giliran di premis milik MBAS bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhannya, sebanyak 180 notis ditampal dan diedarkan di 62 lokasi premis MBAS iaitu Pokok Sena, Kepala Batas, Gunung Keriang, Kuala Kedah, Simpang Empat, Kota Sarang Semut dan sekitar Bandaraya Alor Setar bagi memberi kefahaman kepada mereka," katanya.

Katanya, sebanyak 24 notis turut dikeluarkan kepada semua Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) untuk pembangunan strata sekali gus semua pihak diminta mematuhi arahan daripada kerajaan.

Penguatkuasa MBAS meletakkan notis pemberitahuan di sebuah premis di Bandar Alor Setar.
Penguatkuasa MBAS meletakkan notis pemberitahuan di sebuah premis di Bandar Alor Setar.

Katanya, premis awam milik MBAS yang lain seperti Mini Stadium Peremba, Kompleks Kolam Renang, Gelanggang Futsal UTC, Dewan Dato' Syed Omar, Dewan Besar MBAS, UTC, Medan Bandar dan Taska Al-Ahla MBAS turut ditutup.

"Antara lain taman awal seperti Taman Awam Jubli Perak, Taman Awam Merdeka, Taman Awam Ujana Peremba, Taman Rekreasi Gunung Keriang, Taman Jublee, Taman Rekreasi Persisiran Sungai Kedah Ampang Jajar dan Taman Rekreasi Persisiran Sungai Kedah Jerangan turut ditutup," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan gerai tepi jalan, medan selera dan kedai makan di Bandar Alor Setar ditutup susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan kerajaan.

Dalam tinjauan itu, hanya beberapa restoran yang membuka operasi perniagaan mereka namun mengehadkan kepada makanan untuk dibawa pulang ataupun melalui perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda.

Pengusaha D'Samsiah Sidik Nasi Padang, Jamil Ahmad, 57, berkata, pihaknya membuka premis namun pelanggan hanya dibenarkan untuk membeli makanan untuk dibawa pulang.

"Ada yang tempah melalui aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp, jadi kita bungkus siap-siap supaya apabila pelanggan datang, ambil dan lagi satu melalui perkhidmatan FoodPanda," katanya.

Katanya, mereka sedia maklum perintah kawalan pergerakan diambil kerajaan sekali gus sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan dan kebersihan demi mencegah penularan penyakit koronavirus (Covid-19).