KoArRahman kukuh perpaduan kariah melalui LAKARun 2025

KEPALA BATAS - Koperasi Masjid Ar Rahman Permatang Rambai (KoArRahman) melangkah ke hadapan sebagai pemangkin ekonomi dan perpaduan komuniti apabila menganjurkan Larian Amal KoArRahman (LAKARun 2025) yang menarik penyertaan kira-kira 300 peserta merentasi sawah dan kampung.
Larian sejauh lima kilometer itu bermula dan berakhir di pekarangan Dewan Kariah Masjid Ar Rahman, Permatang Rambai di sini pada Isnin.
Ia disempurnakan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Dr Zainab Abdul Raman bersama Pengerusi KoArRahman, Datuk Ghazali Hashim.
Program tersebut bermula pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari yang mana pelbagai aktiviti menarik turut disediakan antaranya pertandingan mewarna, sukaneka, sukan rakyat, sepak takraw bulatan, gubahan pulut kuning dan gubahan buah tembikai.
Pengerusi Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Daerah Seberang Perai Utara, Mohd Sukor Md Yusof berkata, penganjuran tahun ini lebih baik dengan penglibatan pelbagai rakan strategik.
“Penyertaan bukan sahaja daripada anak kariah Permatang Rambai tetapi juga komuniti Parlimen Tasik Gelugor dan Parlimen Bagan.
"Ini sangat baik untuk meningkatkan daya saing dan perpaduan serta selari dengan agenda Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Sukor yang juga Pengerusi JPKKP menambah, kejayaan penganjuran kali ini membuktikan gabungan keusahawanan dan keprihatinan sosial mampu melahirkan komuniti progresif, berdaya saing serta berlandaskan nilai-nilai Islam.
“Koperasi masjid bukan sekadar penggerak ekonomi komuniti malah menjadi pemangkin perpaduan dan kesejahteraan sosial,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras LAKARun, Zahir Jamaludin yang juga Timbalan Pengerusi KoArRahman berkata, program tersebut merupakan kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya penyumbang hadiah dan kewangan, sukarelawan serta penyokong program.
"Saya berharap LAKARun dapat dijadikan platform pembangunan komuniti secara berterusan dengan skala lebih besar pada masa depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

