Isteri maut, suami parah motosikal terbabas di lebuh raya

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Seorang pesara tentera cedera parah manakala isterinya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 231.6 arah selatan Lebuhraya Senawang - Ayer Keroh di sini pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Zainab Abdullah, 69, manakala suaminya Ahmad Abdullah, 60, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Kawasaki ER250-C yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kecemasan.
“Akibat kemalangan itu, pembonceng tercampak ke lorong kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.
“Penunggang motosikal pula dikejarkan ke zon merah Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, kejadian berlaku di jalan lurus tiga lorong satu hala dengan permukaan rata dan cuaca ketika kejadian dilaporkan baik namun tiada pencahayaan jalan.
Ujay beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat.
Tambahnya lagi, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

