Pelancong cedera parah dipijak gajah selepas cuba ambil swafoto

KARNATAKA – Seorang pelancong cedera parah selepas dipijak seekor gajah ketika cuba mengambil swafoto berhampiran sebuah kuil di Karnataka, India, Ahad lalu.
Mangsa, dikenali sebagai R Basavaraju dilaporkan menceroboh kawasan hutan larangan sebelum menemui haiwan tersebut yang sedang memakan lobak merah di tepi jalan.
Saksi memaklumkan Basavaraju bertindak menghampiri gajah berkenaan untuk merakam gambar, namun kelakuannya dipercayai mencetuskan kemarahan haiwan itu, terutama selepas terdedah kepada pancaran cahaya kamera.
Rakaman video yang tular menunjukkan gajah itu mengejar mangsa sehingga dia terjatuh di atas jalan raya sebelum dipijak beberapa kali, malah serangan itu menyebabkan seluar dan pakaian dalamnya terkoyak.
Basavaraju bernasib baik kerana masih hidup kemudian dihantar ke hospital oleh orang ramai untuk rawatan susulan.
Pihak berkuasa hutan tempatan mengenakan denda 25,000 rupee (kira-kira RM1,200) ke atasnya atas kesalahan menceroboh dan memprovokasi hidupan liar selain diarahkan membuat rakaman pengakuan kesalahan.
Jabatan Perhutanan India menegaskan insiden itu menjadi peringatan agar pelancong mematuhi peraturan taman hidupan liar dan tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa sendiri serta haiwan.
India mempunyai lebih 30,000 ekor gajah iaitu sekitar 60 peratus populasi gajah Asia dunia dan konflik antara manusia serta hidupan liar semakin meningkat akibat pelanggaran sempadan habitat dan peraturan keselamatan oleh pelancong.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

