PM tekankan keperluan koordinasi mantap dalam pembangunan usahawan Bumiputera

Anwar ketika menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Nasional, Mohd Azamanizam Baharon dan delegasi, pada Rabu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar ketika menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Nasional, Mohd Azamanizam Baharon dan delegasi, pada Rabu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, koordinasi yang lebih mantap antara pelaksana inisiatif pembangunan usahawan Bumiputera amat penting, bagi memastikan setiap usaha dilaksanakan secara berfokus, saling melengkapi dan memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, perkara itu ditekankan beliau ketika menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Nasional Mohd Azamanizam Baharon dan delegasi, pada Rabu.

"Dalam pertemuan ini, saya menegaskan rasional dan ketetapan kerajaan berhubung agenda pembangunan Bumiputera yang perlu difahami dan dihayati oleh semua persatuan, termasuk PERDASAMA.

"Kerajaan menyambut baik cadangan inisiatif yang diutarakan PERDASAMA, dan saya yakin kerjasama strategik ini akan memberikan impak yang lebih besar dalam memperkukuh ekosistem perniagaan Bumiputera serta memperluas peluang ekonomi negara,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah persatuan yang menghimpunkan 27,263 syarikat Bumiputera, PERDASAMA telah memainkan peranan penting dalam menggembleng tenaga, kepakaran dan jaringan dalam kalangan ahlinya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!