GenKRU tidak diteruskan, Norman jelaskan salah faham

Norman (kiri) tidak mahu jika konsert GenKRU diteruskan akan menjadi perbandingan buat peminat yang hadir.
Norman (kiri) tidak mahu jika konsert GenKRU diteruskan akan menjadi perbandingan buat peminat yang hadir.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengasas kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim tampil menjelaskan kekeliruan berhubung laporan media mengenai pembatalan Konsert GenKRU di Pulau Pinang yang tular sejak semalam.

Menerusi satu kenyataan video yang dikongsikan kepada media petang tadi, Norman, 53, berkata, pihaknya tidak pernah mengumumkan konsert GenKRU di Pulau Pinang pada asalnya.

“Sebenarnya KRU tidak pernah mengumumkan tentang kewujudan konsert GenKRU di Pulau Pinang atau melancarkan tiket konsert di mana-mana negeri.

“Apa yang berlaku, kami memang ada hasrat untuk membuat konsert GenKRU di beberapa buah negeri. Namun, selepas melihat kajian teknikal dan perkara yang boleh dibuat, kami merasakan hasrat itu dibatalkan. Bukannya konsert di Pulau Pinang sahaja,” jelasnya.

Menurut Norman, faktor teknikal menjadi alasan utama pembatalan kerana pihaknya mahu memastikan mutu persembahan setara atau lebih baik berbanding Konsert GenKRU di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Mei lalu.

“Kami percaya atas sebab teknikal, apa yang dipersembahkan di Axiata Arena tidak dapat diulang mengikut harapan kami. Jadi biarlah GenKRU diabadikan dengan kelasnya yang tersendiri untuk semua peminat yang hadir,” katanya.

Tambahnya, rakaman konsert berkenaan akan disiarkan pada masa akan datang dan pihaknya kini sedang meneliti format serta kandungan persembahan bagi konsert luar Kuala Lumpur dengan jenama berbeza, bukan sebagai sambungan GenKRU.

“Kami tidak mahu mengecewakan peminat yang pernah hadir dan mula membuat perbandingan antara persembahan di negeri lain dengan Kuala Lumpur.

"Jika ada lagi konsert GenKRU, ia perlu lebih besar daripada apa yang pernah kami buat di Axiata Arena,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Norman turut menasihatkan peminat supaya menunggu pengumuman rasmi daripada pihak KRU dan tidak terpengaruh dengan khabar angin.

Terdahulu, Konsert GenKRU di Axiata Arena pada Mei lalu diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai persembahan berskala mega dan mencatat sejarah baharu buat trio beradik itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!