Najib pertimbang pengampunan baharu – Shafee

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Pasukan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan pihaknya tidak menolak mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan pengampunan penuh sekali lagi.
Bagaimanapun Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pengampunan kali kedua akan mengambil kira kewujudan Titah Adendum yang sebelum ini didedahkan berkait pengampunan terdahulu.
"Yang itu (mengemukakan permohonan sekali lagi) kita tidak tolak langsung, memang selalu dalam perkiraan kami," katanya ketika sidang akhbar di lobi Istana Kehakiman di sini pada Rabu.
Menurutnya, permohonan pengampunan boleh dibuat berulang kali untuk menghapuskan semua hukuman penjara atau sebahagiannya.
“Kalau buat pengampunan sekarang, kita tidak mahu isu Titah Adendum atau pengampunan separuh ini bercampur atau saling mengikat.
“Sebab itu bila kita buat pengampunan, ia mungkin pengampunan secara ‘fresh’," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan yang membenarkan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Susulan itu, semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Muhammad Shafee berkata, berdasarkan sembilan kes terdahulu di mahkamah, dekri pengampunan yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipertikaikan atau dicabar.
“Apabila Yang di-Pertuan Agong sudah menandatangani dekri pengampunan, keputusan itu tidak boleh ditentang. Itu prinsip yang sudah ditegaskan dalam banyak kes sebelum ini,” jelasnya.
Muhammad Shafee turut menegaskan perbincangan dalaman Lembaga Pengampunan mesti kekal rahsia seperti perbincangan juri dalam perbicaraan bagi mengelakkan keyakinan terhadap institusi tersebut terjejas.
“Kalau isi perbincangan itu dibuka, kita akan musnahkan keseluruhan sistem kerana tiada siapa yang mahu lagi menjadi ahli Lembaga Pengampunan pada masa depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
