Fattah Amin minta hentikan fitnah, tegaskan hubungan keluarga baik

Fattah memaklumkan dia kerap membawa Fatima keluar bermain dan bertemu keluarga, tanpa sebarang masalah.
Fattah memaklumkan dia kerap membawa Fatima keluar bermain dan bertemu keluarga, tanpa sebarang masalah.
A
A
A

PELAKON popular, Fattah Amin menegaskan hubungan dengan anaknya, Nur Fatima Aisya dan bekas isteri, Nur Fazura serta ahli keluarga kedua belah pihak berada dalam keadaan baik.

Menurut pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd Amin itu, dia kerap membawa Fatima keluar bermain dan bertemu keluarga, tanpa sebarang masalah seperti yang digambarkan sesetengah netizen.

“Saya harap orang luar jangan buat andaian atau tulis perkara yang tidak benar. Lebih baik kita tulis dan komen yang baik-baik supaya tidak mendatangkan fitnah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi dan duta baharu jenama Amber di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas tindakan pihak tertentu yang merakam dan menyebarkan siaran langsung Fazura sehingga menimbulkan spekulasi, bintang utama 11 Cinta Sebelum Kamu menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak wajar.

“Benda macam ini boleh menimbulkan kebencian antara satu sama lain dan sewajarnya dielakkan.

“Hubungan saya dengan Fatima, mommy (Fazura) dan neneknya baik sahaja. Tidak ada masalah pun,” ujarnya.

Fattah berkongsi video memperlihatkan Fatima berbual mesra bersama ahli keluarganya.
Fattah berkongsi video memperlihatkan Fatima berbual mesra bersama ahli keluarganya.

Dalam masa sama, lelaki berusia 35 tahun itu mengakui ibunya, Azizah Abd Ghani, turut berasa sedih apabila terbaca komen negatif, namun dia menasihatkan keluarganya supaya tidak mengambil peduli tuduhan yang tidak benar.

Artikel Berkaitan:

“Tentulah dia (ibu) sedih, tetapi saya beritahu jangan baca. Orang boleh buat macam-macam andaian, orang boleh cakap macam-macam benda yang dia nak cakap, orang boleh fitnah macam-macam benda yang dia nak fitnah.

“Tetapi kesimpulannya, kalau benda-benda itu tidak betul, kita jangan terasa, jangan terkesan sebab benda itu tidak betul,” tutur Fattah dengan tenang.

Sebagai anak dan bapa, Fattah juga mengakui kesal apabila keluarganya menjadi mangsa fitnah, namun tetap menyeru peminat agar memberi komen positif.

“Kita tidak boleh kawal apa orang nak taip atau fikir, tapi kita boleh buat bahagian kita dengan menasihatkan supaya elak tulis benda yang tak baik,” katanya.

Tambah pelantun Wanita Terakhir itu, dia sudah lali berdepan pelbagai isu sejak menceburi industri hiburan dan memilih untuk fokus kepada kerja serta keluarga.

“Kalau ada orang buat perkara yang bukan-bukan, saya serahkan kepada ALLAH SWT. Dalam industri ini, cabaran sentiasa ada. Sebagai selebriti, kita kena sentiasa bersikap terbuka dan tunjuk contoh yang baik kepada peminat,” jelasnya.

Terdahulu, tular sebuah rakaman siaran langsung TikTok Fazura yang berkongsi Fatima kurang senang dengan tindakan neneknya mengatakan dirinya tidak comel dan tidak pandai, sehingga mengundang pertelingkahan kecil dalam kalangan netizen.

Namun sehari selepas itu, Fattah berkongsi video memperlihatkan Fatima berbual dengan ibunya seperti biasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!