Trump kerah tentera, Pengawal Negara ke Washington

Keputusan melulu Trump mengerahkan Pengawal Negara ke LA sebelum ini mengundang bantahan ramai. - Foto Agensi
Keputusan melulu Trump mengerahkan Pengawal Negara ke LA sebelum ini mengundang bantahan ramai. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengerahkan tentera dan pasukan keselamatan persekutuan atas alasan untuk mengekang jenayah ganas di Washington DC.

Pemimpin Republikan itu memaklumkan Polis Metropolitan bakal diletakkan di bawah kawalan kerajaan persekutuan selain Pengawal Negara ditempatkan di sekitar jalan utama.

“Ia adalah hari pembebasan di DC. Kita akan mengambil alih semula Washington,” ujarnya di Rumah Putih pada Isnin.

Trump yang memberi pengampunan kepada hampir 1,500 individu terlibat rusuhan di Capitol pada 2021 mendakwa jabatan polis dan pendakwa raya tidak bertindak tegas dengan insiden keganasan meskipun jumlah kes dikatakan telah menurun sejak kebelakangan ini.

Menurut pentadbirannya, kira-kira 800 Pengawal Negara DC akan disokong anggota unit 'khas' untuk menjaga ketenteraman di bandar berpopulasi 7.9 juta penduduk itu.

Langkah itu bagaimanapun dikecam Demokrat termasuk Pemimpin Minoriti di Dewan Perwakilan AS, Hakeem Jeffries yang percaya ia sebenarnya atas kepentingan dan agenda politik peribadi.

Richard Stengel yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama juga menegaskan Washington bukan dalam senarai bandar paling berbahaya di AS.

Pendekatan baharu itu mengulangi dasar agresif Trump yang berkeras menutup sempadan dengan langkah pengusiran besar-besaran migran selain mengerahkan pasukan tentera untuk menghadapi penunjuk perasaan ketika protes melanda Los Angeles (LA) pada Jun lalu. - AFP

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!