Trump raikan 100 hari pertama penggal kedua sebagai presiden

Trump menyampaikan ucapan menandakan hari ke-100 beliau memegang jawatan di Pusat Ekspo Sukan Kolej Komuniti Macomb County di Warren, Michigan - Foto: AFP
Trump menyampaikan ucapan menandakan hari ke-100 beliau memegang jawatan di Pusat Ekspo Sukan Kolej Komuniti Macomb County di Warren, Michigan - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, meraikan pencapaian 100 hari pertama penggal keduanya dengan mengadakan satu perhimpunan di Michigan pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam ucapannya kepada para penyokong, Trump menggambarkan permulaan penggal baharunya sebagai "100 hari paling berjaya dalam mana-mana pentadbiran dalam sejarah negara.”

Beliau turut mengulangi beberapa pendiriannya sebelum ini, termasuk memuji dasar imigresen yang tegas, mengulangi dakwaan bahawa beliau memenangi Pilihan Raya Presiden 2020, serta mengkritik bekas Presiden Joe Biden, hakim-hakim berhaluan kiri radikal dan media arus perdana.

Trump juga menekankan langkah pentadbirannya dalam isu-isu sosial, termasuk pengiktirafan hanya dua jantina dan pengharaman penyertaan atlet transgender dalam sukan wanita.

"Saya menamatkan segala dasar tidak sah yang dikenali sebagai kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman di semua agensi kerajaan persekutuan dan sektor swasta,” katanya.

"Saya juga menetapkan dasar rasmi kerajaan Amerika Syarikat bahawa hanya terdapat dua jantina - lelaki dan wanita.

"Dan langkah paling mudah yang saya laksanakan ialah melarang penyertaan lelaki dalam sukan wanita,” katanya.

Trump turut berjanji untuk melaksanakan "potongan cukai terbesar dalam sejarah Amerika,” termasuk pengecualian cukai ke atas tip, pencen keselamatan sosial dan kerja lebih masa.

Artikel Berkaitan:

"Kita baru bermula. Anda belum lihat apa-apa lagi,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!