Pahang miliki lebih 300 lembu wagyu, tertinggi di Semenanjung

RAUB – Pahang kini memiliki lebih 300 ekor lembu wagyu sekali gus mencatat jumlah tertinggi di Semenanjung Malaysia setakat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu adalah hasil projek ternakan yang dimulakan sejak dua tahun lalu di Ladang Ternakan Ruminan Syarikat AGK Dairy Fresh Sdn Bhd dekat Bukit Kajang di sini.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan potensi besar industri ternakan wagyu di negeri ini.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Abdul Ghafar Khan (AGK) yang berjaya melaksanakan program ternakan lembu wagyu ini sehingga kita mendapat hasilnya.
“Sekarang kita ada 300 ekor, insya-ALLAH dalam masa dua tahun boleh mencecah sebanyak 1,000 ekor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ladang berkenaan dan mendengar taklimat perkembangan projek wagyu negeri itu pada Isnin.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak, dan Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Fadzilla Salleh.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan memberikan sokongan penuh termasuk bantuan berkaitan bagi memastikan Pahang menjadi juara ternakan wagyu di Malaysia.
“Kerajaan negeri akan beri sokongan. Tadi saya telah mendengar taklimat dan ada beberapa perkara yang memerlukan bantuan serta sokongan kerajaan negeri Pahang.
“Insya-ALLAH kita akan bantu supaya kita akan menjadi juara dalam ternakan lembu wagyu di negara kita,” ujarnya.
Tambahnya lagi, selain di Raub, projek seumpama itu turut dijalankan di Tanjung Gahai, Lipis dan bakal diperluas ke kawasan lain seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta.
Jelasnya, langkah memperbanyakkan ternakan lembu wagyu di Pahang Barat dibuat kerana faktor cuaca yang sesuai, selain produk hiliran daripada lembu tersebut mempunyai nilai pasaran tinggi dan mampu menjana keuntungan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengalu-alukan cadangan syarikat AGK untuk membuka restoran berhampiran ladang berkenaan sebagai salah satu tarikan pengunjung.
“Saya minta dipercepatkan kerana ia akan menjadi tarikan pelancong. Ini yang pertama di Semenanjung Malaysia dan sudah pasti orang akan teruja sekiranya dapat sampai ke sini,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

