Rizal Nainy terima Anugerah Kepimpinan Perkhidmatan MINDA 2025

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Rizal Nainy menerima Anugerah Kepimpinan Perkhidmatan sempena Majlis Anugerah Industri Malaysia (MINDA) 2025, baru-baru ini.
Anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan kepada pemimpin berwawasan atas semangat dedikasi, integriti dan inspirasi transformatif dalam landskap ekonomi serta kemajuan negara.
Pengiktirafan berprestij itu turut mengiktiraf kepimpinan beliau menerajui SME Corp dalam usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil kejayaan berpasukan di SME Corp, Rizal berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima penganugerahan tersebut yang cukup membanggakan.
“SME Corp sentiasa berpegang kepada prinsip ‘Together Everyone Achieves More’ (TEAM) dalam setiap usaha dan tindakan yang dilaksanakan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pengurusan dan kakitangan atas kerja berpasukan yang mantap serta dedikasi tinggi dalam melaksanakan setiap mandat yang diamanahkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pencapaian itu penting bagi melonjakkan sumbangan PMKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 50 peratus.

“Ia akan dicapai melalui pelbagai inisiatif yang dirancang termasuk strategi penskalaan PMKS bagi meningkatkan bilangan firma bersaiz sederhana daripada 1.6 peratus ketika ini kepada 5 peratus menjelang tahun 2030.
“Melangkah ke hadapan, saya yakin SME Corp akan terus melaksanakan peranan dengan lebih berkesan, terutamanya menjelang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” ujarnya.
Anugerah Kepimpinan Perkhidmatan itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Untuk rekod, MINDA 2025 dianjurkan oleh Federation of Malaysian Business Associations (FMBA) bagi meraikan pencapaian usahawan, komuniti perniagaan, individu dan organisasi atas kecemerlangan serta mengiktiraf sumbangan signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

