Kes Zara Qairina: Pahang ambil iktibar, tekan aspek keselamatan di sekolah agama

Abdul Zaki (dua dari kanan) mengiringi Mohd Ali (tengah) menyerahkan surat kepada salah seorang penerima pada majlis Penyerahan Surat Pendaftaran Maahad dan Sekolah Agama Swasta di Dewan Syarahan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini pada Isnin.
Abdul Zaki (dua dari kanan) mengiringi Mohd Ali (tengah) menyerahkan surat kepada salah seorang penerima pada majlis Penyerahan Surat Pendaftaran Maahad dan Sekolah Agama Swasta di Dewan Syarahan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini pada Isnin.
A
A
A

PEKAN – Pengusaha sekolah agama dan maahad tahfiz di Pahang dinasihatkan agar lebih prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar, khususnya dari aspek keselamatan, keselesaan serta disiplin.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Zaki Md Zain, berkata insiden kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di Sabah baru-baru ini perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak agar perkara sama tidak berulang di negeri ini.

“Institusi agama perlu sentiasa prihatin terhadap kebajikan anak-anak yang berada di sekolah agama dan madrasah.

“Kita mungkin tidak dapat menghapuskan sepenuhnya isu atau gejala seperti itu, tetapi kita akan terus berusaha untuk mengurangkannya seminimum mungkin.

“Walaupun kejadian tersebut berlaku jauh di Sabah, Pahang mengambil tindakan segera dan berterusan dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan kondusif, terutamanya bagi anak-anak yang berada di asrama. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Pendaftaran Maahad dan Sekolah Agama Swasta di Dewan Syarahan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di sini pada Isnin.

Abdul Zaki turut memaklumkan bahawa Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah menitahkan agar solat hajat diadakan di seluruh masjid di negeri ini.

Jelasnya, ia sebagai tanda penghormatan dan memohon kemudahan segala urusan bagi arwah Zara Qairina.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Islam MUIP, Mohd Ali Mat Dasir, memaklumkan sebanyak 10 institusi pendidikan agama swasta menerima surat pendaftaran dalam sesi kedua tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan 139 institusi berdaftar di seluruh Pahang.

“Hanya tinggal 50 institusi lagi yang belum mendapat kelulusan kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Antara syarat yang paling banyak gagal dipatuhi adalah dari aspek keselamatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!