Reman broker tanah guna geran palsu tuntut RM3.8 juta dilanjutkan

SEREMBAN - Tempoh reman seorang broker tanah di Negeri Sembilan yang disyaki menggunakan dokumen iaitu geran yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah berjumlah kira-kira RM3.8 juta dilanjutkan sehingga 14 Ogos ini.
Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu direman selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Ogos ini selepas permohonan dibuat Suruhjanya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Suspek sebelum ini telah pun direman tujuh hari sejak 5 Ogos lalu.
Siasatan awal mendapati, suspek disyaki telah menggunakan suatu dokumen mengandungi butir matan palsu iaitu geran di Mukim Lenggeng daerah Seremban atas nama seorang individu lain bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.8 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

