Lelaki maut ketika sertai acara berbasikal

KAJANG – Seorang penunggang basikal meninggal dunia selepas dipercayai sesak nafas ketika menyertai acara berbasikal sejauh 50 kilometer di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kematian lelaki tempatan berusia 27 tahun itu pada jam 2 petang di Hospital Ampang.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sesak nafas ketika melalui Kilometer 13 lebuh raya tersebut sebelum terjatuh ke atas jalan dan tidak sedarkan diri.
"Rawatan awal telah diberikan di lokasi kejadian sebelum mangsa dibawa ke Hospital Ampang, namun dia disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Naazron berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Ampang mendapati punca kematian masih menunggu analisis makmal.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Batu 14 Hulu Langat, Sarjan Mejar Mohd Nasyran Ab Wahab di talian 03-90212222.
"Polis menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai aktiviti sukan supaya memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan atau masalah kesihatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
