Syarikat air Kelantan berhutang RM61 juta dengan TNB - Fadillah

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhutang kira-kira RM61 juta dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi bil elektrik yang belum dijelaskan setakat 30 Jun tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, rekod menunjukkan terdapat 492,174 akaun utiliti itu di negeri berkenaan yang mempunyai tunggakan bil dengan jumlah keseluruhan hutang mencecah RM229 juta.
“Daripada jumlah ini, tunggakan tertinggi adalah daripada pengguna domestik sebanyak 411,780 akaun dengan jumlah tunggakan RM114 juta. Ini diikuti dengan pengguna bukan domestik (komersial dan industri) sebanyak 80,196 akaun dengan jumlah tunggakan RM53 juta.
“Manakala baki tunggakan adalah daripada AKSB sebanyak 198 akaun dengan jumlah tunggakan sebanyak RM61 juta,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang memintanya menyatakan jumlah akaun pengguna di Kelantan yang masih mempunyai tunggakan bil dengan TNB sejak tahun lalu hingga kini.
Mengulas lanjut, Fadilah berkata, jumlah tunggakan secara keseluruhan dilihat menurun berbanding 31 Disember tahun lalu.
Katanya, penurunan yang direkodkan itu sebanyak RM4.33 juta.
“Beberapa beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada masalah itu, termasuk kegagalan pemilik premis memindahkan akaun elektrik kepada penyewa yang menyebabkan peningkatan bil tertunggak bagi kategori domestik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

