'Kuasa talak bukan di tangan wanita' - Nora Ariffin sedia hadapi proses hakam

Nora Ariffin ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Isnin.
Nora Ariffin ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – “Saya dah buat apa yang patut, tetapi kuasa talak bukan di tangan wanita.”

Itu reaksi penyanyi, Datuk Wan Norafizah Ariffin, 52, atau lebih dikenali sebagai Nora Ariffin, apabila prosiding permohonan cerainya dengan suami, Dr Rushdi Ramli masih berlarutan dan bakal memasuki proses hakam di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 3 September ini.

Nora berkata, beliau sudah melaksanakan segala prosedur yang ditetapkan, namun keputusan untuk melafazkan talak tetap terletak pada pihak suami.

“Dari pihak saya, saya sudah buat apa yang sepatutnya dan tunaikan permintaan. Malangnya, kuasa talak bukan pada saya.

"Kalau ada pihak tertentu mahu berhujah dengan suami, saya tidak mahu masuk campur.

"Saya hanya mahu keluar daripada ‘circle’ yang toksik,” katanya ketika ditemui media di pekarangan mahkamah pada Isnin.

Pelatun lagu Hanyalah Satu itu menegaskan, beliau sudah bersedia sejak hari pertama perbicaraan dan tidak akan menarik balik permohonannya walaupun Dr Rushdi tetap enggan melepaskan.

“Saya dah bersedia untuk apa sahaja kemungkinan. Kita teruskan ke proses seterusnya iaitu hakam.

"Saya serahkan pada mahkamah untuk selesaikan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nora, hubungan mereka sejak awal tidak pernah bermusuhan, malah proses perpisahan itu dibuat mengikut saluran yang betul.

Malah, walaupun berada dalam proses penceraian, hubungan mereka masih baik dan saling menghormati.

Nora mengakui tidak pernah menutup pintu rumahnya kepada suami selagi status perkahwinan mereka masih sah.

“Sebagai isteri, selagi belum bercerai, tidak elok menutup pintu atau menghalau suami. Berdosa pula kalau buat begitu.

"Selepas bercerai pun, dia tetap bekas suami dan saya tidak akan bermusuh. Prinsip saya, hormat itu perlu walau apa pun status hubungan,” katanya lagi.

Prosiding perceraian pasangan itu akan diteruskan pada 3 September depan bagi proses hakam.

Terdahulu, Nora melantik kakak angkatnya, Rafeah manakala Dr Rushdi memilih rakannya, Syamsul Omar sebagai wakil JKP.

Pada 21 April lalu, Nora memfailkan permohonan perceraian selepas tercetus pelbagai konflik berkaitan rumah tangga mereka.

Sebelum itu, beliau pernah mendirikan rumah tangga bersama komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!