Polis masih buru Puvarasan

SEREMBAN - Polis masih memburu seorang lelaki yang disyaki melanggar lari seorang remaja 18 tahun hingga maut dalam kejadian di Jalan Temiang berhampiran Simpang Bukit Jong dalam kejadian minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, usaha mengesan suspek R Puvarasan, 28, sedang giat dilakukan.
"Kita masih memburu suspek dan saya tidak mahu berkongsi lanjut kerana boleh menganggu siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan suspek yang memandu kereta jenis Mercedes Benz ketika kejadian 6 Ogos lalu mempunyai lebih 10 rekod jenayah.
Siasatan awal mendapati, suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum memecut kenderaannya lalu merempuh mangsa.
Pemeriksaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk pecah rumah termasuk tukul besi, sarung tangan, kain dan pemotong.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor G Sankar di talian 014-6000353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

