Covid-19: Signal kemelesetan ekonomi telah ada

Mohd Afzanizam
Mohd Afzanizam
A
A
A

“TIDAK perlu risau untuk menyebut perkataan meleset, yang penting apakah tindakan kita seterusnya.”

Demikian ungkap Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian semalam berhubung ancaman Covid-19 dan kesan terhadap ekonomi Malaysia.

Tanpa berselindung, Mohd Afzanizam mengakui, dalam keadaan semasa memang terdapat signal yang menjurus kepada kemelesetan ekonomi terutamanya berdasarkan reaksi pasaran saham dan pasaran bon.

Katanya, Amerika Syarikat (AS) mula mendapat kesan negatif dengan kejatuhan harga saham indeks utama Dow Jones dan situasi itu agak menggusarkan kerana hubungan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) Malaysia dengan AS agak rapat iaitu sekitar 80 peratus.

Katanya, ini bermakna apa-apa terjadi di AS akan memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, tegas beliau, Malaysia mampu untuk keluar daripada kegawatan ekonomi yang dijangka diimpakkan oleh wabak Covid-19 memandangkan jangkaan penguncupan KDNK tahun 2020 hanya sekitar 1.2 peratus, tidak seteruk kegawatan ekonomi tahun 1998.

Kitaran

“Jika dilihat daripada kitaran ekonomi, kali terakhir negara mencatat kemelesetan adalah pada tahun 2009 selain pada tahun 1998 dan 1985. Pada tahun 2009 KDNK kita telah menguncup kepada 1.5 peratus, tahun 1998 sebanyak -7.4 peratus dan tahun 1985 menguncup kepada satu peratus.

“Paling teruk adalah pada tahun 1998 dan kali ini tanda-tandanya sudah ada.

Artikel Berkaitan:

“Kita hanya akan mengetahui KDNK penuh tahun 2020 pada bulan Februari tahun depan kerana KDNK dipengaruhi sentimen pasaran.

“Namun, jangkaan saya, berdasarkan rekod lepas, tahap penguncupan KDNK tahun 2020 adalah seperti krisis subprima tahun 2009 dalam sekitar 1.2 ke dua peratus. Sepatutnya tidaklah sampai negatif tujuh peratus seperti tahun 1998.

“Ini kerana saya berpendapat kedudukan sektor kewangan negara pada masa ini amat kukuh,” katanya ketika ditemui di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur semalam.

Menjelaskan lanjut mengenai perbandingan krisis ekonomi tahun 1998 dengan kesan ekonomi tahun ini, beliau mengakui, puncanya adalah berbeza.

“Kalau pada tahun 1998, ia berpunca daripada sistem perbankan yang lemah sehingga kerajaan pada ketika itu perlu melakukan pelbagai langkah untuk menyelamatkan sistem perbankan.

“Cuma sekarang isunya ialah Covid-19 dan ini memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan negara yang telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan.

“Andai kata penawar Covid-19 ini dapat ditemui, dapat dikekang penularannya, pemulihan ekonomi itu boleh berlaku dengan cepat cuma kita tidak tahu berapa lama lagi.,” katanya.

Jelas Mohd Afzanizam, pada tahun lalu dunia ghairah memperkatakan mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat-China, namun tidak menyangka tentang ancaman wabak Covid-19 dengan impaknya yang lebih besar.

“Setiap 10 tahun ada kemelesetan ekonomi dan dalam ayat al-Quran pun disebut, Surah Yusuf ayat 47, 48 dan 49 dengan jelas menyatakan tentang tujuh tahun kitaran ekonomi (turun naik) dari segi itu kita boleh membuat satu persediaan, dengan adanya tanda-tanda seperti Covid-19 dan sebagainya.

“Malaysia pernah mengalami pelbagai cabaran sebelum ini, bukan tidak pernah meleset dan terbukti kerajaan berjaya mengatasi masalah kemelesetan ekonomi.

“Apa yang penting, penyaluran maklumat perlu diberikan dengan jelas kepada rakyat terutamanya dalam keadaan semasa di mana media sosial menjadi satu budaya.

“Sekiranya berlaku kemelesetan, apakah langkah seterusnya, itu yang lebih rekonstruktif,” tegas beliau.

Mohd Afzanizam dalam temubual secara eksklusif bersama Sinar Harian berhubung kesan gelombang wabak Covid-19 ke atas ekonomi Malaysia dan dunia.
Mohd Afzanizam dalam temubual secara eksklusif bersama Sinar Harian berhubung kesan gelombang wabak Covid-19 ke atas ekonomi Malaysia dan dunia.

Menyentuh tentang sentimen pelabur, beliau berkata, sentimen sememangnya sangat negatif, namun persoalannya di fikiran pelabur adalah berapa rendah indeks akan menurun.

“Ia sukar dijawab namun jika dilihat pada analisis teknikal, indeks KLCI ditutup pada 1,280 mata semalam, paras sokongan seterusnya adalah 1,200 mata, 1,000 mata, 800 mata, itu merupakan tingkat-tingkat paras sokongan.

“Kalau tahap tersebut dipecah ia akan pergi ke tahap berikutnya. Soalnya adakah ia akan terus merudum, ia bergantung kepada prestasi ekonomi global dan kita lihat adakah syarikat di Eropah dan sebagainya.

“Sekiranya bank pusat masing-masing secara agresif mengeluarkan kadar faedah hampir kosong peratus, di samping itu dasar fiskal mereka dasar yang mengembang, banyak ransangan ekonomi diperkenalkan.

“Negara kita juga mengamalkan dasar-dasar ekonomi dan dua dasar ini, dasar monetari dan dasar fiskal telah digemblengkan dan secara teorinya akan menaikkan kembali pertumbuhan ekonomi negara.

“Namun bila ia memberi kesan bergantung kepada durasi Covid-19 itu, jadi ia berbalik kepada kepada keutamaan kerajaan pada ketika ini. Adakah kesihatan atau ekonomi?

“Buat masa ini, yang saya lihat keutamaannya adalah kesihatan bagi memastikan rakyat sihat terlebih dahulu, apabila rakyat sihat baru ekonomi boleh berjalan. Jadi apabila kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan, ia sesuatu yang positif,” katanya.

Naratif ekonomi berubah selepas gelombang kedua

Seawal bulan Januari lalu, dunia telah dikejutkan tentang Covid-19 dengan situasi paling teruk di China. Rentetan itu, fokus ekonomi pada masa itu lebih terfokus kepada kesan terhadap rantaian perniagaan memandangkan China merupakan kuasa ekonomi kedua terbesar selepas Amerika Syarikat (AS).

Bagaimana, Ketua Penganalisis Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, naratif tersebut telah berubah apabila memasuki bulan Februari dan minggu lalu pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 sebagai pandemik.

“Kita dapati pasaran saham dan sebagainya telah merudum dengan begitu teruk sekali.

“Naratifnya telah bertukar kepada kelembapan ekonomi peringkat global yang bermakna risiko kelembapan telah menjadi sistemik menjejaskan semua ekonomi di dunia.

“Kita dapat melihat beberapa bank pusat utama dunia telah mengambil langkah-langkah drastik sebagai contoh Bank Pusat (Federal Reserve) di AS pada hujung minggu lalu telah mengumumkan penurunan kadar faedah sehingga hampir kosong peratus. Suatu kadar yang terendah yang pernah dicapai ketika krisis subprima pada tahun 2008 dan 2009.

“Apabila tahap kadar faedah di AS itu menyamai kadar faedah pada ketika krisis subrprima pada tahun 2008 dan 2009, persoalan yang bermain-main di fikiran sekarang adakah kita berhadapan risiko kemelesetan ekonomi.

“Jika kita melihat signifikan atau apa yang berlaku di pasaran saham utama dunia dan juga di negara kita seolah-olah pasaran sedang memberi suatu isyarat bahawa mungkin berlakunya kemelesetan ekonomi,” kata Mohd Afzanizam dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian semalam.