Celcom sedia aturan kerja khusus tangani Covid-19

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Kesemua pekerja Celcom di seluruh negara dengan fungsi operasi yang tidak kritikal digalakkan bekerja dari rumah bermula hari ini bagi memastikan perkhidmatan kepada pelanggan tidak terganggu.

Celcom Axiata Berhad (Celcom) dalam satu kenyataan semalam berkata, kakitangan terlibat akan menerima tugasan secara dalam talian dan menerima sokongan jarak jauh melalui saluran dan platform yang disediakan.

“Bagi pekerja yang diperlukan untuk berada di tempat kerja atau kawasan kerja yang lain, Celcom akan melaksanakan langkah-langkah dan proses kerja yang sesuai dengan garis panduan Pengurusan Kelangsungan Perniagaan (BCM) termasuklah perancangan sumber dan meneruskan kerja-kerja pembersihan harian di tempat kerja.

“Pemeriksaan kebersihan tempat kerja dan langkah keselamatan terus menjadi keutamaan dalam langkah berjaga-jaga syarikat,” katanya.

Menurutnya, Celcom dalam masa sama telah mengaktifkan BCM dengan pelan kontingensi tiga penjuru sebagai langkah awal memastikan tiada gangguan rangkaian, kesinambungan operasi bagi ekosistem pelanggan dan perusahaan di samping memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja.

Celcom turut memaklumkan dan menggalakkan pelanggan untuk menggunakan sokongan pelanggan secara digital antaranya melalui Celcom e-store, aplikasi Celcom Life App, dan Perkhidmatan Pelanggan Celcom dalam talian (Celcom Online Customer Service).

“Ia juga merupakan cara mengurangkan risiko pendedahan Covid-19 kepada pekerja dan pelanggan serta menyumbang kepada usaha penjarak sosial tanpa menjejaskan perkhidmatan rangkaian, sokongan kepada pelanggan dan rakan niaga pada masa ini,” katanya.

Jelasnya, sejak dua minggu lalu, Celcom telah menggerakkan pasukan tugas sebagai sebahagian daripada pelan BCM.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan ini telah menjalankan langkah-langkah yang penting dalam memastikan kesihatan dan keselamatan kakitangan di tempat kerja.

“Ia termasuk saringan suhu badan secara mandatori di setiap pintu masuk bangunan, prosedur pembersihan harian di seluruh bangunan, penyediaan pembersih tangan di kesemua tingkat bangunan, kawasan umum dan lif serta penyediaan topeng muka kepada kakitangan,” katanya.

Katanya, pekerja juga dinasihatkan untuk menghentikan kesemua perjalanan atas urusan perniagaan serta tidak menggalakkan kesemua perjalanan dalam dan luar negara atas urusan peribadi.

“Kakitangan Celcom akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi dalaman,” katanya.