Dua lelaki dicekup, mesin bitcoin dirampas

Antara individu yang ditahan di Pandamaran Klang Selasa lalu.
Antara individu yang ditahan di Pandamaran Klang Selasa lalu.
A
A
A

KLANG – Tindakan unit risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang mengekori sebuah lori hingga ke sebuah premis di Jalan Selatan 21, Pandamaran, Klang membongkar kegiatan penyeludupan minyak diesel dan aktiviti perlombongan bitcoin Selasa lalu.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, semasa menjalankan rondaan Ops Taring Landai Bil 28/2025 pada jam 3 pagi, pihaknya terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

“Kita telah mengekori lori terbabit sehingga masuk ke sebuah kawasan berpagar, sebelum menahan seorang lelaki tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh masing-masing berusia 21 dan 35 tahun.

“Hasil pemeriksaan di tempat serbuan mendapati lori itu membawa minyak diesel yang diperoleh secara tidak sah dengan mengubah suai bahagian ruang belakang dan meletakkan tangki IBC,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Rusley berkata, pemeriksaan di dalam kawasan serbuan turut menemui dua buah tangki skid yang diubah suai untuk digunakan sebagai tempat penyimpanan sementara minyak diesel.

“Kita kemudian membuka sebuah pintu zink bersebelahan stor minyak menggunakan kunci yang dimiliki penjaga stor dan menjumpai 78 mesin bitcoin yang sedang beroperasi secara tidak sah dengan mencuri bekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Hasil rampasan bernilai RM312,840. Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan, ketirisan subsidi minyak diesel, Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!