[VIDEO] Speaker sedia semak usul Muhyiddin rujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen
CYBERJAYA - Speaker Dewan Rakyat sedia menyemak sebarang usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya mahu merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Bagaimanapun Tan Sri Johari Abdul menegaskan pihaknya belum menerima usul yang dimaksudkan.

"Setakat ini belum terima apa-apa lagi. Kalau ada apa-apa juga yang dihantar kepada saya, Insya-ALLAH saya akan lihat dan mengambil tindakan sewajarnya seperti yang termaktub dalam peraturan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita di selepas hadir ke sambutan Hari ASEAN ke-58 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai bekas Perdana Menteri itu mahu merujuk Anwar (PH-Tambun) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Terdahulu, Anwar dalam sesi Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan bebankan orang asing dalam penyasaran subisidi RON95.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapa ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.
Muhyiddin menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ia adalah fitnah.
Susulan itu Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

