Angsa 'balas dendam' pada pembaca meter

SHAH ALAM - Seorang pembaca meter tidak menyangka dua ekor angsa yang pernah dihalaunya setahun lalu, muncul semula dan 'membalas dendam' apabila mengejarnya ketika sedang membuat bacaan meter di Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor pada Selasa lepas.
Zainal Abidin Muhammad, 46, berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada 'dendam lama' memandangkan dia pernah menghalau haiwan itu di lokasi sama pada tarikh sama tahun sebelumnya.
"Pada hari kejadian, saya nampak angsa lalu di hadapan, namun saya buat tidak tahu sahaja.
"Saya buat kerja saya seperti biasa sebelum angsa terbabit menyerang saya secara tiba-tiba," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu, video aksi lucu tetapi mencemaskan dialami Zainal Abidin yang dikongsikan melalui akaun TikTok zainalsteadysaj pada 5 Ogos lepas sehingga kini meraih lebih 3.4 juta tontonan dengan 167,300 tanda suka.
Bagaimanapun, jelasnya, dia tidak mengalami sebarang kesakitan ataupun kecederaan akibat diserang angsa terbabit kerana ia terasa seperti terkena patukan mulut angsa sahaja.
Walaupun insiden itu mengejutkan, Zainal Abidin berkata, ia bukan pengalaman luar biasa sepanjang lebih 13 tahun bergelar pembaca meter di kawasan Kota Tinggi termasuklah kampung dan Felda.
Katanya, selain angsa, dia pernah berdepan dengan pelbagai haiwan liar seperti anjing dan ular ketika bertugas di kawasan terpencil dan semak.
Zainal Abidin memberitahu, dia pernah berdepan detik mencemaskan apabila bertemu ular tedung ketika membaca meter di satu kawasan sebelum ini.
"Ular dekat semak tepi, kita lalu dekat jala dan tiba-tiba haiwan itu naik tegak. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana perasan dengan kehadiran haiwan berbisa itu. Jika tidak sempat lari, memang kena," ujarnya lagi.
Zainal Abidin turut berkongsi bahawa adakalanya dia terpaksa mengambil masa sehingga 30 minit mencari meter yang tersembunyi dalam semak sebelum merekodnya atau melaporkan halangan kepada penyelia.
Kongsi Zainal Abidin lagi, bertugas di kawasan tertentu sememangnya memerlukan komitmen tinggi kerana kebanyakan meter terletak di kawasan semak dan jauh dari laluan utama, selain adakalanya meter sukar dibaca.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak berputus asa dan mencuba sedaya upaya untuk melakukan tugasan memandangkan prihatin dengan pengguna yang bergantung kepada bil yang dikeluarkan untuk pembayaran bulanan.
Zainal Abidin berkata, dia tidak menyangka video terbaharu ketika bertemu angsa tersebut akan tular kerana tujuannya merakam hanyalah untuk kenangan dan keselamatan ketika menjalankan tugas.
'Saya tidak sangka langsung. Saya buat video itu kadang-kadang untuk kenangan. Apabila kita buat sesuatu, kita bahagia. Stres tidak ada," katanya yang menggunakan kamera Insta360 untuk merakam tugasan harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

