'Oyen' nyaris maut, lelaki bertindak pantas lakukan CPR

BANGKOK - Seorang lelaki di Thailand menjadi tumpuan ramai selepas berjaya menyelamatkan seekor kucing berbulu oren atau ‘oyen’ yang terkena renjatan elektrik ketika memanjat tiang elektrik.
Kejadian cemas itu dirakam dan dimuat naik ke akaun TikTok @bingbing2070, memaparkan lelaki berkenaan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 27 saat terhadap kucing yang terbaring tidak sedarkan diri.
Beberapa saat kemudian, kucing itu dilihat mula bergerak perlahan, sekali gus melegakan orang ramai yang menyaksikan insiden tersebut.
Lelaki terbabit, yang merupakan pembantu veterinar di sebuah universiti tempatan di Bangkok, berkata beliau dimaklumkan mengenai insiden itu oleh anak perempuannya.
Sebaik tiba di lokasi, beliau melihat seorang individu sedang cuba melakukan CPR, namun dengan cara yang salah, iaitu menekan bahagian perut haiwan berkenaan.
Tanpa berlengah, beliau mengambil alih dan menunjukkan teknik sebenar, iaitu dengan melakukan tekanan pada sisi badan kucing, bukannya pada perut.
Kucing tersebut kemudiannya dihantar ke hospital haiwan untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan semakin pulih serta sudah boleh makan seperti biasa.
Rakaman video menyentuh hati itu mencetuskan reaksi positif dalam kalangan netizen yang mendoakan agar kucing tersebut cepat sembuh dan memuji tindakan pantas lelaki itu yang dianggap sebagai wira haiwan.
Ada juga netizen yang menasihati pemilik haiwan peliharaan supaya membela kucing dalam persekitaran tertutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
