[VIDEO] Sami didakwa amang seksual budak lelaki 13 tahun

A
A
A

ALOR GAJAH – Seorang sami didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun.

Tertuduh, P Deva, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa telah melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berkenaan di dalam bilik tidur sebuah rumah di Taman Melaka Perdana di sini, antara jam 3 hingga 4 petang, pada 4 Julai lalu.

Tertuduh (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah pada Khamis.
Tertuduh (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah pada Khamis.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada awal setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam Datuk P Aravindhakshan merayu agar anak guamnya dikenakan ikat jamin yang rendah atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan dengan mengajar kanak-kanak sembahyang di kuil India.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Gajah pada Khamis.
Tertuduh (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Gajah pada Khamis.

Beliau turut berhujah bahawa keluarga tertuduh miskin dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 8 September depan untuk serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!