Hubungan AS-India di tahap terburuk selepas Trump kenakan tarif 50 peratus

Hubungan antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri India, Narendra Modi kini mula menunjukkan keretakan.-Agensi
Hubungan antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri India, Narendra Modi kini mula menunjukkan keretakan.-Agensi
A
A
A

NEW DELHI – Hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan India kini berada di tahap paling buruk dalam tempoh beberapa tahun apabila Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif keseluruhan sebanyak 50 peratus ke atas import dari New Delhi, menjadikan kadar itu tertinggi di dunia setakat ini.

Menurut penganalisis, langkah terbaharu itu mencerminkan keutamaan pentadbiran Trump yang lebih cenderung kepada dasar ‘onshoring’ berbanding ‘friend-shoring’, iaitu mewujudkan rakan dagang strategik.

Rabu lalu, Washington mengumumkan tambahan tarif 25 peratus terhadap India sebagai hukuman kerana membeli minyak dari Rusia, menjadikan jumlah keseluruhan tarif meningkat kepada 50 peratus. Keputusan mengejut itu dibuat meskipun kedua-dua negara sebelum ini giat merundingkan perjanjian dagangan baharu.

“Perundingan yang gagal ini amat mengejutkan dan meletakkan India dalam kelompok kecil negara yang bukan sahaja tiada perjanjian dagangan, malah dikenakan tarif tertinggi,” kata Naib Presiden Strategi dan Penyelidikan di Asia Pacific Foundation of Canada, Vina Nadjibulla.

Beliau menyifatkan hubungan dua hala ini kini berada pada tahap “paling sukar dalam tempoh bertahun-tahun” dan menyeru agar kedua-dua negara segera membina semula kepercayaan.

Minggu lalu, Trump secara terbuka mengancam akan mengenakan tindakan terhadap India berikutan pembelian minyak dan senjata dari Rusia, selain menyifatkan India dan Rusia sebagai "ekonomi mati" kerana kebuntuan dalam rundingan perdagangan.

Semasa rundingan tarif, India menawarkan pengurangan cukai import terhadap produk industri AS serta peningkatan pembelian dalam sektor pertahanan dan tenaga. Namun, New Delhi enggan menghapuskan duti ke atas produk pertanian dan tenusu yang sensitif secara politik kerana membabitkan pekerjaan ratusan juta rakyat miskin di India.

“India kini berada dalam situasi yang mencabar dan ini akan benar-benar menguji dasar luar negara itu,” kata Farwa Aamer dari Asia Society Policy Institute di New York.

New Delhi menyifatkan tarif yang dikenakan oleh Washington sebagai “tidak adil, tidak wajar dan tidak munasabah”, dan menegaskan pembelian minyak Rusia dilakukan bagi memenuhi keperluan tenaga rakyatnya yang mencecah 1.4 bilion.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!