Tugas rutin anggota polis makin berisiko

DUA kejadian anggota polis ditikam baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pasukan barisan hadapan ketika menjalankan tugas di lapangan, khususnya dalam situasi yang tidak dapat dijangka.
Sabtu lalu, seorang anggota dari Balai Polis Panching, Kuantan, Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, cedera ditetak ketika cuba mententeramkan seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental di Felda Bukit Kuantan, Pahang.
Beberapa hari sebelumnya, pada 31 Julai lalu, seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pula cedera ditikam di bahagian perut ketika menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki mencurigakan di kawasan Pasar Pudu, Kuala Lumpur.
Suspek dalam kes berkenaan merupakan lelaki berusia 56 tahun yang didapati memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan jenayah kekerasan selain ujian air kencing pula mendapati dia positif dadah.
Kedua-dua insiden itu berlaku dalam situasi berbeza, pertamanya membabitkan suspek dipercayai kurang siuman, manakala satu lagi melibatkan penjenayah berulang. Tetapi kedua-duanya mempunyai mesej sama iaitu keselamatan anggota polis semakin terancam dan tidak boleh dipandang ringan, atau dianggap sebagai lumrah bertugas.
Ini menimbulkan persoalan sama ada anggota sang saka biru kita cukup terlatih untuk mengendalikan krisis melibatkan pesakit mental yang agresif lebih-lebih lagi dalam situasi tanpa sokongan pakar.
Begitu juga kejadian di Pasar Pudu tersebut, jelas menggambarkan betapa berbahayanya tugas rondaan harian walaupun di lokasi awam.
Kes ini juga membuka mata pihak bertanggungjawab untuk menilai semula pendekatan operasi polis termasuk aspek persediaan, latihan serta padanan tugas lebih strategik. Perlu menilai semula protokol operasi termasuk cadangan mewujudkan unit khas bersama pakar kesihatan mental bagi kes tertentu.
Latihan taktikal, peralatan pelindung dan pengurusan risiko juga perlu ditingkatkan agar anggota tidak dibiarkan bertugas tanpa persediaan menyeluruh.
Hakikatnya kedua-dua insiden bukan sahaja mengundang simpati, tetapi juga menjadi amaran bahawa tugas polis kini semakin mencabar dan berbahaya yang menuntut tindakan segera sebelum ada nyawa terkorban.
Mungkin kerajaan perlu mempertimbangkan pembentukan unit khas bersama pakar psikiatri atau pegawai kesihatan mental khusus bagi menangani kes berprofil mental atau berisiko tinggi, supaya tindakan awal dapat diambil sebelum sesuatu insiden berlaku.
Anggota polis tidak boleh terus dibiarkan berada dalam situasi berbahaya tanpa sokongan sepatutnya termasuk perlindungan peralatan taktikal bersesuaian mengikut jenis panggilan kecemasan.
Malah langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperluaskan penggunaan kamera badan wajar dan tepat meskipun ia bukan satu ‘penawar semua masalah’ tapi alat penting dalam menyokong integriti dan keselamatan.
Tugas polis hari ini tidak lagi terhad kepada mengekang jenayah konvensional, malah mereka kini menjadi barisan hadapan dalam menangani gejala sosial, ketidakseimbangan mental dan kepincangan yang berlaku disebabkan pelbagai berpunca.
Maka kita perlu jujur bahawa ramai anggota polis bekerja dalam tekanan yang tinggi, gaji yang tidak sepadan, serta pendedahan kepada ancaman fizikal dan emosi yang berpanjangan.
Ketika kerajaan memperuntukkan dana untuk teknologi, keperluan paling asas latihan intensif, penambahan tenaga kerja, dan sokongan moral juga tidak boleh diabaikan.
Realitinya dua kejadian itu menjadi isyarat jelas bahawa tugas polis masa kini jauh lebih mencabar. Isu keselamatan anggota di lapangan perlu diberi perhatian serius serta menyeluruh agar penguat kuasa tidak terus menjadi mangsa sewaktu menjalankan amanah.
Nor Farhana Ya’acob ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Melaka & N Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

