Lagi canggih, lagi ke belakang

Manusia menyesuaikan diri dengan persekitaran dan komunikasi hari ini lebih bersifat berbilang dimensi iaitu teks, audio, video dan interaktif.
Manusia menyesuaikan diri dengan persekitaran dan komunikasi hari ini lebih bersifat berbilang dimensi iaitu teks, audio, video dan interaktif.
A
A
A

SEMASA zaman prasejarah, komunikasi manusia bergantung kepada isyarat tangan, bunyi alam dan lukisan gua. Kemudian berkembanglah bentuk komunikasi visual seperti asap, gendang dan bendera. Semuanya tanpa suara, hanya berdasarkan kod dan simbol.

Apabila manusia mula mencipta abjad dan tulisan, komunikasi melonjak ke satu tahap baharu.

Sehinggalah perubahan besar berlaku apabila Antonio Meucci mencipta konsep telefon pada tahun 1854. Alexander Graham Bell pula berjaya mematenkan ciptaannya pada 1876 sehingga namanya terus kekal dalam sejarah sebagai orang pertama mencipta telefon, bukannya Meucci.

Revolusi telefon tidak berhenti setakat itu apabila pada tahun 1973, jurutera dari Motorola, Martin Cooper menjadi individu pertama mencipta telefon bimbit selepas menghasilkan prototaip telefon mudah alih dikenali sebagai DynaTAC.

Telefon bimbit kemudian melalui pelbagai fasa perkembangan yang sangat pantas, dan mungkin sesuatu yang tidak pernah dijangkakan Alexander, Meucci, mahupun Cooper sendiri.

Memasuki abad ke-21 kini, arah teknologi telefon mengalami banyak perubahan. Berbagai jenama telefon pintar dijual di pasaran. Masing-masing berlumba-lumba mengejar relovusi baharu. Hampir semua orang pasti mempunyai telefon bimbit, cuma bezanya sama ada mahal atau yang mampu milik.

Aplikasi pemesejan seperti WhatsApp, Messenger dan Telegram merubah landskap komunikasi. Kini, ramai lebih suka berkomunikasi menggunakan teks berbanding bercakap dalam telefon.

Ini disebabkan mesej teks memberikan ruang masa untuk berfikir. Kita boleh menyusun ayat, memadam dan menaip semula tanpa tekanan. Selain itu ia tidak memerlukan komitmen masa seperti panggilan telefon.

Pun begitu, sebab yang paling utama adalah kerana ‘ketakutan’ semakin menebal.

Artikel Berkaitan:

Satu ketika dahulu, saat telefon berdering adalah detik yang mendebarkan. Bukan kerana ketakutan, tetapi kerana keterujaan. Mungkin panggilan dari orang tersayang, mungkin berita baik dari pejabat, atau sahabat lama yang ingin berhubung semula.

Tapi hari ini, bagi ramai orang, deringan telefon menjadi ancaman. Apabila telefon berbunyi, perasaan bercampur baur. Takut panggilan daripada bos bertanyakan hal kerja, atau takut panggilan daripada pegawai bank menuntut ansuran kereta yang masih tertunggak.

Dengan ledakan kes penipuan melalui panggilan telefon juga, ramai yang memilih untuk ‘berdiam’ daripada menjawab panggilan tidak dikenali. Sikap berhati-hati itu terus terbawa-bawa sampaikan deringan daripada orang yang dikenali pun kita pura-pura sibuk.

Tanpa kita sedari, dalam dunia yang semakin maju dengan teknologi, kita mula menjauhi antara satu sama lain secara lisan dan kembali kepada komunikasi tanpa suara.

Setelah ratusan tahun manusia berjuang untuk mencipta telekomunikasi agar boleh bercakap dari jauh, kita kini seolah-olah kembali ke belakang. Lebih selesa menaip teks atau simbol seperti emoji, GIF atau sticker, daripada bercakap. Bahkan sebolehnya mahu menaip mesej paling ringkas seperti ‘OK’, ‘TQ’ atau ‘LOL’.

Dari satu sudut, ini mungkin satu evolusi. Manusia menyesuaikan diri dengan persekitaran dan komunikasi hari ini lebih bersifat berbilang dimensi iaitu teks, audio, video dan interaktif.

Tapi dari sudut lain, ia satu bentuk kemunduran dalam komunikasi. Kita hilang sentuhan suara yang membawa intonasi, emosi dan kejujuran. Kita juga hilang kemahiran asas bercakap, menyampaikan hujah secara spontan dan mendengar dengan empati. Banyak juga salah faham berlaku akibat nada yang tidak tersampai melalui teks.

Kita harus sedar, dalam aspek kemanusiaan, suara membawa lebih daripada sekadar maklumat. Ia sebenarnya membawa emosi, keikhlasan dan nilai kemanusiaan.

Justeru, bukanlah mustahil apabila dengan panggilan telefon boleh mendamaikan dua pihak yang sedang bertelagah.

* Ahmad Syahrul Derauh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!