Gunung berapi hambur abu setinggi tujuh kilometer di Kamchatka

Gunung berapi Klyuchevskoy di Semenanjung Kamchatka, Rusia meletus dan memuntahkan asap serta abu setinggi tujuh kilometer ke udara pada Selasa. Foto: AFP
Gunung berapi Klyuchevskoy di Semenanjung Kamchatka, Rusia meletus dan memuntahkan asap serta abu setinggi tujuh kilometer ke udara pada Selasa. Foto: AFP
A
A
A

VLADIVOSTOK - Gunung berapi Klyuchevskoy di Semenanjung Kamchatka, Rusia meletus dan memuntahkan asap serta abu setinggi tujuh kilometer ke udara pada Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

“Tiada penempatan berada di laluan debu, dan tiada kejatuhan debu direkodkan di kawasan berpenduduk. Tiada kumpulan pelancong berdaftar dilaporkan berada berhampiran kawasan gunung berapi ketika kejadian berlaku,” kata Kementerian Situasi Kecemasan Kamchatka menerusi saluran Telegramnya.

Susulan letusan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran kod jingga, yang menunjukkan kebarangkalian tinggi pelepasan debu dan potensi bahaya terhadap penerbangan, memandangkan abu bergerak ke arah tenggara menuju Lautan Pasifik.

Letusan dilaporkan semakin aktif sejak Isnin, dengan empat kepulan debu berasingan dihamburkan dari Klyuchevskoy, termasuk satu daripadanya yang mencapai ketinggian sembilan kilometer dari paras laut.

Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa beberapa gunung berapi aktif lain di rantau berkenaan masih berpotensi menghamburkan abu setinggi enam hingga 10 kilometer.

Penduduk serta pelancong dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan dalam radius 10 kilometer dari mana-mana gunung berapi aktif. - Bernama-Xinhua

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!