[VIDEO] 23 September tarikh pengurusan kes dua ADUN Sabah, Albert Tei
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah menetapkan 23 September depan sebagai tarikh pengurusan kes pra-perbicaraan bagi dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa berkaitan rasuah dalam prosiding di Mahkamah Rasuah Khas di sini pada Selasa.
ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy hadir dalam prosiding tersebut, masing-masing berada di kandang tertuduh ketika dipanggil.
Tarikh sama turut ditetapkan bagi seorang ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, yang mengikuti prosiding secara dalam talian dari bilik mahkamah berkenaan.
Tarikh tersebut ditetapkan bagi penyerahan beberapa dokumen tambahan oleh pihak pendakwaan, termasuk dokumen forensik, rekod telekomunikasi dan dokumen berkaitan imigresen.

Dr Yusof, 69, sebelum ini didakwa pada 30 Jun lalu atas pertuduhan menerima suapan wang tunai sebanyak RM200,000 daripada tertuduh, Jiann Cheing, sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat mendapatkan lesen mencari gali mineral di Sabah.
Beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sementara itu, Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, turut didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM150,000 daripada individu sama bagi tujuan yang sama. Beliau turut mengaku tidak bersalah dalam prosiding terdahulu.
Albert pula menghadapi dua pertuduhan, iaitu memberi suapan sebanyak RM200,000 kepada Dr Yusof dan RM150,000 kepada Andi Muhammad Suryady. Beliau juga mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee dan Rustam Sanip.
Andi Muhammad Suryady diwakili barisan peguam terdiri daripada Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M. Borhan, Datin Jaharah Patimbangi, Elhanan James, Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prem Elmer Ganasan. Barisan sama, kecuali Jaharah, turut mewakili Dr Yusof.
Albert pula diwakili oleh barisan peguam Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani.
Hakim bagi kes ini ialah Jason Juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

