Gedik-gedik Aliff Syukri pun mampu raih jualan berjuta

Aliff Syukri cipta The Malaysia Book of Records (MBOR) berjaya jual bag tangan RM1 Juta terpantas melalui penstriman langsung.
Aliff Syukri cipta The Malaysia Book of Records (MBOR) berjaya jual bag tangan RM1 Juta terpantas melalui penstriman langsung.
A
A
A

SEBUT sahaja nama Datuk Seri Aliff Syukri, pasti kita akan teringat perangai selamba, kecoh dan tergedik-gediknya.

Paling tak boleh lupa nyanyian ‘sumbang’ dan joget terkinja-kinjanya setiap kali tiba hari raya. Walaupun dikecam satu Malaysia, dia tak peduli.

Bagi Merak Jalanan, itu sisi tak berapa nak elok yang tak patut kita contohi. Tapi ada sisi positif yang wajar kita teladani iaitu semangatnya berniaga.

Jual tudung, jual jeruk mangga, jual kosmetik, jual macam-macam asalkan menguntungkan.

Malam Ahad lalu, dalam masa kurang tiga minit, koleksi terbaharu beg tangan denim Aliff Syukri terjual lebih RM1 juta di TikTok Shop.

Satu pencapaian bukan calang-calang. Cipta rekod jualan terpantas, sekali gus berjaya atasi rekod jualan pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming yang menjual Sambal Nyet.

Strategi pemasarannya juga sangat bijak. Ada hadiah kereta, pakej umrah dan percutian. Mungkin ramai tak suka gayanya yang suka ‘cakap besar’ tapi realitinya walaupun dia dah bergelar jutawan tapi dia sungguh-sungguh buat kerja.

Dia belajar dan dia bertahan. Dia bukan duduk mengeluh di media sosial. Dia bekerja siang malam. Apabila berjaya, dia tak lupa orang di sekelilingnya.

Merak Jalanan juga paling suka cara Aliff Syukri mendidik anak-anak. Dia tak bersendirian dalam membina empayar perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Anak sulungnya, Ammar Ahyan pun dah pandai buat kerja paid review. Dahsyat. Sebelum ini Ammar cuma bantu jual jeruk mangga sahaja.

Malah, semasa Aliff Syukri jatuh sakit dan ke luar negara, anak-anaknya yang menguruskan sesi jualan live dengan cekap, semangat dan berani.

Daripada kecil mereka sudah diasuh jadi usahawan. Kata Aliff, pendedahan awal itu penting untuk bentuk jati diri dan semangat berdikari.

Dia mahu anak-anaknya tahu bahawa duit bukan turun dari langit tapi ia hasil daripada kerja keras. Merak Jalanan setuju. Bagus kalau semua ibu bapa ada visi macam Aliff Syukri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!