Bersediakah kita jika lockdown diisytihar

Kebanyakan farmasi sudah kehabisan stok penutup hidung dan mulut susulan penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar ibu kota hari ini. - Foto Bernama
Kebanyakan farmasi sudah kehabisan stok penutup hidung dan mulut susulan penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar ibu kota hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEMALAM saya lihat satu pemandangan agak luar biasa berlaku di beberapa kedai runcit di Shah Alam. Orang ramai berpusu-pusu membeli barang keperluan dalam jumlah yang banyak.

Selalunya tidak begitu. Tambahan pula sekarang masih tengah bulan, rata-rata belum terima gaji lagi.

Rupa-rupanya berlaku pembelian panik apabila mereka menerima mesej infografik yang dikongsi netizen melalui Facebook dan WhatsApp dengan tanda pagar #Malaysialockdown pada Isnin 16 Mac 2020, 8 hingga 10 malam.

Infografik Covid-19 Hour itu menyuruh rakyat Malaysia supaya berada di kediaman masing-masing selain menyebut beberapa larangan iaitu jangan keluar dari rumah, jangan keluar ke tempat awam seperti pasar raya dan restoran serta sembahyang dan berdoa.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagaimanapun menafikan arahan lockdown yang viral di media sosial tersebut. Pengguna tidak perlu panik dan kelam-kabut membeli barang walaupun wabak Covid-19 yang melanda dunia kini diisytiharkan sebagai pandemik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi jaminan bahawa rakyat tidak perlu melakukan pembelian panik kerana bekalan barang makanan mencukupi sepanjang masa di pasaran.

Lockdown bermaksud satu sekatan pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi menghalang orang ramai untuk masuk atau meninggalkan sesuatu bangunan atau kawasan disebabkan oleh sesuatu kecemasan.

Situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 setakat semalam di Malaysia mencatatkan sebanyak 553 kes. Tiada kematian dilaporkan setakat ini. Berbeza di Itali, kematian hampir mencecah 2,000 dan di Sepanyol, kematian meningkat ketara menghampiri 300 orang.

Artikel Berkaitan:

Di Filipina, walaupun jumlah kes 140, kematian agak tinggi iaitu 11 orang. Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan suasana cemas seperti pembelian panik.

Ramai juga yang marah-marah di media sosial mengapa sehingga sekarang kerajaan masih tidak mengisytiharkan lockdown. Ada berkata, hendak tunggu sampai ada kes yang meninggal dunia baru hendak isytihar lockdown?

Kerajaan sebenarnya berhati-hati dalam isu ini dan perlu menimbangkannya dari segenap sudut. Kalau nak isytihar lockdown, sudah tentu melibatkan banyak pihak seperti anggota keselamatan, bekalan makanan dan pelbagai persediaan yang harus dibuat.

Bukan boleh semudah-mudahnya umum lockdown. Memang keadaan akibat Covid-19 sangat membimbangkan tetapi masih tidak kritikal. Sekiranya lockdown tidak diisytiharkan, kita masih boleh melaksanakan langkah-langkah pencegahan di rumah seperti yang diumumkan oleh KKM.

Memang kita bimbang Covid-19 tetapi hakikatnya kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku hampir hari-hari lebih tinggi statistiknya daripada wabak itu.

Persoalannya, bersediakah kita jika kerajaan mengumumkan lockdown? Bukan sehari dua tapi lebih daripada 14 hari dan mungkin 30 hari seperti mana dilakukan Itali.

Bayangkan jika kerajaan lockdown selama 14 hari atau lebih, jangan harap dapat perkena teh tarik di kedai mamak macam biasa. Nak beli ikan dan sayur di pasar pun tak boleh. Nak konvoi motosikal tak boleh. Nak panjat gunung pun tak boleh. Semua aktiviti luaran sudah tidak dibenarkan lagi untuk tempoh tertentu. Duduk sahaja di rumah.

Bila lockdown bermakna tutup semua pasar raya, tutup semua pasar malam, tutup semua pejabat, tutup semua bank, tutup sempadan negara dan sebagainya.

Segala program yang melibatkan orang ramai seperti kenduri kahwin, majlis hari jadi dan sebagainya perlu dibatalkan. Masjid dan surau perlu ditutup, solat berjemaah dan solat Jumaat terpaksa ditangguh.

Bila semua operasi ditutup, apa kesannya kepada kita? Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin berkata, langkah meletakkan negara itu dalam keadaan ‘terkunci’ akan merosakkan ekonomi.

Covid-19 hanya akan berjaya diatasi sekiranya orang ramai mendengar arahan kerajaan dan menjaga kebersihan diri. Juga, jangan percaya sebarang sebaran maklumat yang tidak sahih.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Sinar Harian