50 OKU di Sabah terima perlindungan takaful Agrobank

SHAH ALAM - Seramai 50 orang kurang upaya (OKU) di Sabah menerima manfaat perlindungan takaful menerusi penajaan Skim Perlindungan Agro Nurani.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, penajaan tersebut merupakan hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Borneo Housing Mortgage Finance Berhad di bawah seliaan Agrobank.
Beliau yang juga presiden kumpulan itu turut memaklumkan bahawa penajaan tersebut melibatkan perlindungan takaful kepada 50 pelatih dan penghuni daripada dua pusat penjagaan OKU di Kota Kinabalu.
“Seramai 40 penerima adalah dari Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti dengan nilai perlindungan RM520,000, manakala 10 penerima lagi dari Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya dengan perlindungan RM130,000.
“Secara keseluruhan, nilai perlindungan yang disumbangkan berjumlah RM650,000 melalui produk Agro Nurani iaitu skim perlindungan patuh syariah yang ditawarkan Agrobank kepada golongan rentan OKU,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, majlis penyerahan itu menjadi manifestasi kepada komitmen berterusan Agrobank dalam menyokong agenda keterangkuman sosial serta memperluas capaian perlindungan kewangan kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan OKU.
“Agrobank sentiasa terbuka dan bersedia menjadi platform kepada mana-mana pihak korporat atau agensi yang ingin menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat menerusi produk perlindungan patuh syariah.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi golongan rentan, malah membuktikan bahawa produk Agrobank menyantuni keperluan pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti OKU,” ujarnya.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Skim Perlindungan Agro Nurani diperkenalkan oleh Agrobank sebagai usaha memperluas perlindungan takaful dengan kos yang berpatutan.
“Ia khusus untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan berisiko tinggi yang sering terlepas daripada liputan insurans konvensional,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
