Agrobank-JHEV ATM lancar Ladang Kontrak Agro Defence untuk veteran ATM

SHAH ALAM – Program Ladang Kontrak Agro Defence diperkenalkan oleh Agrobank bagi membuka peluang kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menceburi bidang pertanian dan penternakan secara komersial.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif itu memberi keutamaan kepada penanaman nanas premium varieti MD2 serta penternakan ayam daging dan ayam kampung organik sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025.
“Setiap peserta layak menerima kemudahan pembiayaan sehingga RM500,000 untuk menampung kos operasi ladang. Program ini dijangka melibatkan hampir 20 peserta yang akan diselia sepenuhnya oleh Aqina Group of Companies (Aqina).
“Kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Aqina bukan sahaja meningkatkan keterjaminan bekalan hasil pertanian dan ternakan negara, malah menyediakan sumber pendapatan yang lebih stabil kepada para veteran ATM,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, usaha tersebut sejajar dengan mandat Agrobank untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara serta memajukan komuniti tani.
“Program Ladang Kontrak ini merupakan inisiatif Agrobank dalam membantu peserta untuk meningkatkan taraf hidup, khususnya golongan pesara.
“Ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun, bermula selepas perjanjian dimeterai,” jelasnya.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, peserta yang berminat perlu melalui proses saringan dan temu duga oleh pihak Aqina serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Antara syarat kelayakan ialah berumur antara 21 hingga 60 tahun, bebas daripada tindakan undang-undang dan tidak disenaraihitamkan oleh institusi kewangan.
“Melalui pelaksanaan program ini, Agrobank bersama rakan strategiknya yakin dapat memperkukuh rantaian nilai agro makanan negara di samping membantu golongan sasar meningkatkan taraf sosioekonomi mereka secara mampan dan holistik,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
