Taikun hartanah Malaysia mengaku bersalah kes berkaitan bekas menteri Singapura

Beng Seng (kiri) meninggalkan mahkamah di Singapura pada Isnin selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang berkaitan dengan bekas Menteri Pengangkutan Singapura. Foto AFP
Beng Seng (kiri) meninggalkan mahkamah di Singapura pada Isnin selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang berkaitan dengan bekas Menteri Pengangkutan Singapura. Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Taikun hartanah Malaysia, Ong Beng Seng pada Isnin mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat menghalang proses keadilan, dalam kes yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran, lapor media tempatan.

Usahawan yang terkenal kerana memainkan peranan penting dalam membawa perlumbaan Formula Satu (F1) ke Singapura mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkaitan lawatan ke Qatar pada Disember 2022, yang dihadiri Iswaran atas jemputan Beng Seng, menurut The Straits Times (ST).

Pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan penjawat awam untuk memperoleh hadiah akan diambil kira semasa proses hukuman.

Pengakuan bersalah itu dibuat selepas beberapa persidangan praperbicaraan dan penangguhan sejak Beng Seng pertama kali didakwa pada 4 Oktober 2024.

Menurut pihak pendakwaan, Iswaran tidak membayar kos penerbangan ke Doha mahupun tiket penerbangan pulang ke Singapura, termasuk penginapan hotel.

Iswaran menaiki jet peribadi milik Beng Seng ke Doha, manakala penginapannya dan tiket penerbangan pulang kelas perniagaan dibayar oleh Singapore GP Pte Ltd (SGP) atas arahan Beng Seng.

Pada Oktober 2024, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Iswaran selepas beliau mengaku bersalah atas empat pertuduhan menerima barangan berharga sebagai penjawat awam serta satu pertuduhan menghalang keadilan.

Pertuduhan menghalang keadilan itu berkaitan bayaran balik S$5,700 yang dibuat oleh Iswaran kepada SGP bagi kos penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura pada 2022.

Pihak pendakwaan menyatakan bahawa Beng Seng sedar tindakan Iswaran membayar semula perbelanjaan itu berkemungkinan besar bertujuan menghalang perjalanan proses keadilan, lapor ST.

Artikel Berkaitan:

Hakim Daerah Utama, Lee Lit Cheng menetapkan tarikh hukuman pada 15 Ogos. Jaminan Beng Seng sebanyak S$800,000 turut dilanjutkan.

Dalam rayuan meringankan hukuman, pasukan pembelaan Beng Seng memaklumkan bahawa dia menghidap "multiple myeloma”, dan berisiko membahayakan nyawanya di penjara jika dia mendapat jangkitan.

Pendakwaan bersetuju bahawa kes Beng Seng wajar diberi pertimbangan belas ihsan kehakiman dan tidak membantah jika hukuman denda maksimum dikenakan sebagai ganti hukuman penjara, menurut ST. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!