Covid-19: UAE hantar bantuan perubatan ke Iran

Orang ramai beratur untuk menerima pakej langkah berjaga-jaga yang disediakan oleh Basij, salah satu pasukan bersenjata Pengawal Revolusi Islam Iran di Teheran. - Foto AFP
Orang ramai beratur untuk menerima pakej langkah berjaga-jaga yang disediakan oleh Basij, salah satu pasukan bersenjata Pengawal Revolusi Islam Iran di Teheran. - Foto AFP
A
A
A
ABU DHABI - Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghantar dua pesawat ke Iran, membawa bekalan perubatan kritikal dalam usaha membantu Tehran memerangi wabak penyakit novel koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).

Dua pesawat itu berlepas dari Abu Dhabi semalam, membawa lebih 32 metrik tan kelengkapan perubatan termasuk sarung tangan, topeng pembedahan dan peralatan perlindungan.

Sebelum ini, pada 3 Mac, UAE dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menghantar 7.5 tan bekalan perubatan dan lima pakar WHO untuk membantu 15,000 kakitangan kesihatan.

Inisiatif itu di bawah kerangka kerjasama UAE dengan negara yang terjejas akibat Covid-19 untuk memperkukuh usaha global dalam mengekang penularan virus.

UAE antara negara terawal yang menghulurkan bantuan kepada China sebaik wabak itu menular, dengan menghantar peralatan perubatan, termasuk topeng muka dan sarung tangan.
Artikel Berkaitan:


Di Afghanistan, UAE menghantar penghantaran bantuan perubatan segera iaitu 20,000 unit alat untuk mengesan virus Covid-19.

Penerbangan ihsan di bawah inisiatif 'Homeland of Humanity' menyaksikan UAE membantu membawa keluar 215 penduduk dari pelbagai negara yang berada di Wilayah Hubei, China pada 4 Mac lalu.

Mereka kini sedang menerima rawatan yang diperlukan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing. - Bernama