'Ingat asam boi, rupa-rupanya katak'

SEREMBAN - Seorang wanita berdepan pengalaman pahit apabila mendakwa menemui seekor katak dalam segelas air limau asam boi yang diminumnya di sebuah restoran di sini baru-baru ini.
Berkongsi cerita itu di akaun TikToknya, wanita terbabit mendakwa hanya menyedari kehadiran 'benda asing' di dalam gelasnya ketika mengacau air berkenaan.
"Ramai sangat yang tanya, saya dah minum ke air itu? Cerita dia macam ini, selepas dia hantar air itu, macam biasalah saya akan kacau dan minum.
"Bila air itu dah suku, saya tengok di bahagian bawah seperti ada benda pelik dan saya kacau, cuba ambilnya menggunakan penyedut minuman, barulah katak itu muncul," katanya.
Menurut wanita itu, dia tidak menyedari kehadiran haiwan berkenaan pada awalnya kerana warnanya menyerupai asam boi yang terdapat dalam air tersebut.
Beliau turut mendakwa telah memaklumkan kejadian itu kepada pihak restoran, namun tidak diendahkan selain tiada permohonan maaf.
Insiden berkenaan mendapat pelbagai reaksi warganet yang menggesa wanita tersebut membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa, selain menyarankan agar menjalani pemeriksaan kesihatan segera.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Dr Zuraida Mohamed ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut.
“Pengadu diminta tampil membuat aduan secara rasmi kepada JKNS bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

