Bas bawa murid rempuh pokok: JPJ laksana audit keselamatan syarikat bas

Sebuah bas membawa murid dan guru terbabas dan melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu. Foto PDRM (Gambar kecil: Aedy Fadly)
Sebuah bas membawa murid dan guru terbabas dan melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu. Foto PDRM (Gambar kecil: Aedy Fadly)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas syarikat bas susulan kes kemalangan di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, ketika membawa rombongan murid sekolah.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah menerima laporan kes terbabit.

"Ya kita ada terima laporan dan kes kemalangan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"JPJ akan jalankan JISA ke atas pengendali bas tersebut dan akan ambil tindakan selanjutnya selepas laporan audit diterima," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bas dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan. Foto PDRM
Bas dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan. Foto PDRM

Kejadian pada Sabtu menyebabkan tiga murid dan seorang guru cedera selepas bas dinaiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.18 tengah hari itu, bas membawa 30 murid dan lima guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang itu sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat menuju ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata, bas dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

Artikel Berkaitan:

Pemandu bas warga tempatan itu telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!