Covid-19: Restoran, kedai makan boleh teruskan operasi

Pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka diarahkan pulang berikutan penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta. -Foto Bernama
Pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka diarahkan pulang berikutan penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Restoran dan kedai makan boleh meneruskan operasi mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bermula tengah malam ini.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pelanggan hanya dibenarkan membungkus atau membuat permintaan penghantaran makanan ke tempat masing-masing.

"Kita galakkan pemilik restoran membuat perkhidmatan penghantaran bagi memudahkan orang awam," katanya.

Menurutnya, jarak sosial yang selamat antara individu merupakan kunci utama pelaksanaan perintah tersebut.

"Pasar malam tidak dibenarkan beroperasi kerana ia mengundang ramai orang," katanya pada sidang media selepas merasmikan cawangan Tealive di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.

"Kita arahkan peniaga segera menambah bekalan keperluan semasa," katanya.

Justeru katanya, rakyat tidak perlu bimbang dan membuat pembelian panik.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah bercakap dengan peruncit dan pemborong," katanya.

Alexander berkata, seramai 2,500 penguat kuasa KPDNHEP turut diarahkan untuk menjalankan pemantauan di lokasi tertentu.

"Arahan sudah dikeluarkan bagi mengekang kenaikan harga barang dalam tempoh ini," katanya.