Terpaksa makan dalam tandas - Ayda Jebat kongsi pengalaman diganggu senior sekolah

PENYANYI dan pelakon popular, Ayda Jebat baru-baru ini berkongsi pengalaman peribadinya ketika bersekolah menengah, susulan terkesan dengan kes kematian pelajar Zara Qairina.
Menerusi hantarannya di Thread, Ayda mendedahkan pengalaman beliau sewaktu Tingkatan Satu di sebuah sekolah perempuan berprestij yang menjadi pilihan pelajar cemerlang.
Ayda atau nama sebenarnya, Nur Shuhada Jebat, 33, berkata walaupun pada awalnya beliau teruja kerana diterima masuk ke sekolah berkenaan, pengalaman tersebut bertukar menjadi tekanan apabila menerima perhatian berlebihan daripada pelajar senior.
“Dulu Tingkatan Satu, saya sekolah di sekolah perempuan, ada asrama tapi sebab saya masuk lambat, asrama sudah penuh. Jadi, saya terpaksa ulang-alik dari rumah ke sekolah, agak jauh, dalam 40 minit juga perjalanan.
“Mula-mula teruja dapat masuk sekolah ini sebab antara sekolah perempuan yang terbaik dari segi akademik dan kokurikulum. Pelajar yang masuk mesti dapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), sikit pun mungkin 4A. Kira bijak pandailah.
“Nak dipendekkan cerita, saya sekolah di situ kurang daripada setahun. Sebab tak tahan, asyik diganggu (dikejar) kakak senior sampai mental tak stabil, nak belajar pun dah tak fokus. Kena ngurat dengan 'kakak-kakak' senior,” jelasnya.
Menurut Ayda, beliau sering menerima surat dan hadiah seperti coklat, sepit rambut, patung dan juga cincin daripada seorang senior yang juga pengawas sekolah.
Jelasnya lagi, keadaan menjadi lebih tidak selesa apabila seorang lagi pelajar senior menegur dan memberi amaran mengenai tingkah laku pengawas tersebut.
“Masa saya pergi tandas, ada satu kakak lain (senior). Dia tanya saya, ‘Awak dengan dia ni ke?’
“Sebab dia dah kecoh cakap ‘awak dia punya’. Kakak tu tanya, dia ada bagi hadiah atau surat tak?
“Kalau ada, hati-hatilah, sebab kalau dia suka, bahaya. Saya jadi tertekan, tak boleh fokus belajar,” katanya.
Situasi semakin membimbangkan apabila pelajar senior yang menyukainya itu mula membuat ugutan agar Ayda tidak melayan sesiapa selain dirinya.
“Dia akan tunggu depan kelas setiap waktu rehat! Saya sanggup keluar ke tandas lima minit awal, duduk dalam tandas sekolah, tunggu kawan belikan makanan. Saya makan dalam tandas sebab takut sangat,” kongsinya.
Enggan membiarkan masalah itu berlarutan, Ayda akhirnya mendedahkan situasi yang dialaminya kepada ibunya dan pengetua sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

