Sultan Selangor berkenan sempurnakan perasmian Makmal Kateterisasi Jantung Datuk Setia Dr Anuar Masduki

SUBANG JAYA – Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) meraikan sambutan ulang tahun ke-40 dengan merasmikan Makmal Kateterisasi Jantung Datuk Setia Dr Anuar Masduki sebagai penghargaan atas sumbangan beliau dalam pembangunan awal hospital dan kecemerlangan rawatan jantung.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan turut dihadiri ahli keluarga Allahyarham Dr Anuar.
Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Bryan Lin berkata, pembinaan makmal tersebut nama sempena nama Allahyarham Dr Anuar, tokoh kardiologi terkemuka negara dan antara pengasas awal pasukan perubatan SJMC.
Ujar beliau, makmal itu juga merupakan tanda penghormatan terhadap peranan penting Allahyarham dalam membentuk asas penjagaan kardiologi di negara ini.
“Penghormatan ini adalah cara kami memelihara legasi dan mengenang nilai-nilai yang diamalkan Allahyarham Dr Anuar, yang terus memberi inspirasi kepada kami di SJMC dan juga di luar sana.
“Makmal Kateterisasi Jantung yang baharu ini telah mula beroperasi pada bulan Mei selepas pelaburan sebanyak RM14 juta.
“Ia memperluaskan keupayaan kami untuk memberikan rawatan dan diagnosis masalah jantung kompleks menggunakan teknik invasif minimum, termasuk angioplasti lanjutan dan elektrofisiologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Makmal Kateterisasi Jantung Datuk Setia Dr Anuar Masduki, SJMC pada Sabtu.
Turut hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj; dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan.
Lin, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Asia OneHealthcare, berkata sambutan ulang tahun bertemakan Transforming Care – 40 Years and Beyond itu merupakan pencapaian bermakna yang mencerminkan nilai serta momentum berterusan SJMC.
Menurutnya, sepanjang dekad lalu, SJMC berkembang daripada permulaan yang sederhana kepada sebuah institusi perubatan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Langkah seterusnya dalam hala tuju kami akan dipacu oleh inovasi yang berteraskan matlamat, merangkumi penaiktarafan infrastruktur hingga integrasi teknologi baharu menerusi platform Connected Care.
“Kami juga sedang meluaskan perkhidmatan pemindahan organ daripada hanya melibatkan sumsum tulang kepada hati, buah pinggang dan organ-organ lain.
“Kami turut merintis laluan bagi rawatan terkini seperti Terapi Gen dan Sel serta Terapi Partikel,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

