X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO Perak hantar 6 calon Exco

Saarani Mohamad
A
A

IPOH - UMNO Perak menyerahkan enam nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka untuk dilantik sebagai Exco kerajaan negeri kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah tersebut berdasarkan persetujuan yang dibuat sebelum ini di antara ketiga-tiga parti di bawah gabungan Perikatan Nasional.

Beliau berkata, bilangan Exco kerajaan negeri dijangka kekal dengan 10 orang dengan enam daripada UMNO dan masing-masing dua orang daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kita dah hantar senarai nama kepada Menteri Besar Perak untuk dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Kita hantar enam nama sepertimana yang dipersetujui.

"Saya tak boleh umum atau dedahkan nama siapa yang disenaraikan. Tunggu pengumuman daripada pihak Istana," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Faizal dalam sidang akhbar pertamanya selepas dilantik semula sebagai Menteri Besar pada 13 Mac lalu menjelaskan, lantikan Exco akan dibuat segera dalam tempoh seminggu selepas beliau mengangkat sumpah.

Beliau dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa Exco yang dilantik akan melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri bersih.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/73727/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Exco-baharu-Perak-akan-ditapis-SPRM-PDRM-Ahmad-Faizal]

Pembentukan kerajaan Perikatan Nasional Perak melibatkan 32 ADUN terdiri daripada 25 ADUN UMNO, empat ADUN Bersatu dan tiga ADUN dari Pas.

Turut menyokong gabungan ini, tiga ADUN Pakatan Harapan yang bertindak keluar menjadi wakil rakyat bebas.

Dalam perkembangan lain susulan penularan koronavirus (Covid-19), Saarani berkata, pihaknya akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mesyuarat dan sebarang bentuk perhimpunan ditangguhkan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak maklumkan, bahawa semua pusat khidmat ADUN Barisan Nasional (BN) juga ditutup sehingga 31 Mac seperti ditetapkan kerajaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!