Sebar dakwaan palsu di WhatsApp, ustazah mohon maaf lepas fitnah BeDaie

KOTA BHARU - Seorang ustazah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada BeDaie atas fitnah yang mendakwa menipu pelajar serta memburukkan nama syarikat tersebut.
Wanita berusia 27 tahun itu merupakan bekas tenaga pengajar dan telah menamatkan khidmatnya pada Julai lalu.
Dia telah mengakui kesilapan dan menyesali tindakannya itu memberi kesan negatif buat BeDaie yang merupakan sebuah platform pengajian dalam talian melibatkan ilmu fardu ain serta mempunyai 120,000 pelajar seluruh Malaysia dan ribuan di 20 negara lain.
"Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada BeDaie atas tindakan membuat penerbitan status WhatsApp yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Ustaz Amar Mirza Abdul Kadir Jailani juga dikenali sebagai Pengasas BeDaie pada 26 Julai lalu.
"Saya telah insaf atas kesilapan diri dan berakujanji untuk tidak meneruskan penerbitan dan pengedaran dakwaan atau fitnah tersebut serta tidak akan mengulas apa jua isi yang bersangkut-paut mahupun berkaitan dengan beliau di masa hadapan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Dia difahamkan sekiranya membuat pengakuan palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 199 dan 200 Kanun Keseksaan yang mana jika bersalah akan dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun serta denda.
Menurut dia, akuan ini dibuat dengan kepercayaan bahawa ia adalah benar dan menurut kuasa peruntukan Akta Akan Berkanun 1960.
Sementara itu, Pengasas BeDaie, Amar Mirza Abdul Kadir Jailani memberitahu, perkara tersebut diharap tidak berulang.
Beliau berharap golongan agamawan menjadi contoh kepada masyarakat dengan tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk melontarkan kenyataan bersifat provokatif atau merendahkan pihak lain, sebaliknya memanfaatkannya untuk menyebarkan dakwah dengan hikmah dan berhemah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

