Penguatkuasaan undang-undang secara tegas kunci utama bendung budaya buli

Insiden yang berlaku di luar kawasan sekolah dan tular di media sosial itu menunjukkan betapa seriusnya gejala buli.
Insiden yang berlaku di luar kawasan sekolah dan tular di media sosial itu menunjukkan betapa seriusnya gejala buli.
A
A
A

KEJADIAN sekumpulan pelajar membelasah rakan sekelas di sebuah pusat beli-belah di Kajang baru-baru ini mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Insiden yang berlaku di luar kawasan sekolah dan tular di media sosial itu menunjukkan betapa seriusnya gejala buli dalam kalangan pelajar tanpa mengira tempat dan masa.

Mangsa yang hanya berusia 13 tahun bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal akibat ditumbuk dan ditampar, malah sudah pasti mengalami tekanan emosi apabila insiden tersebut dirakam dan disebarkan.

Tindakan membuli di tempat awam jelas menunjukkan tahap keberanian pelaku yang mungkin berpunca daripada pengaruh rakan sebaya, tekanan sosial atau kurangnya pengawasan ibu bapa serta pihak sekolah.

Isu buli seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Meskipun kejadian berlaku di luar sekolah, tanggungjawab untuk membentuk sahsiah pelajar tetap terletak di bahu semua pihak - termasuk ibu bapa, guru, dan komuniti setempat.

Lebih membimbangkan, trend merakam dan menyebarkan aksi buli seolah-olah menjadikan keganasan sebagai hiburan. Ia seolah-olah menggambarkan betapa lemahnya penguatkuasaan kerajaan pada aktiviti buli di negara.

Dalam hal ini, beberapa langkah perlu dilakukan terutama dari segi penguatkuasaan undang-undang dan tindakan disiplin.

Polis dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap kes buli, termasuk mendakwa pelaku jika perlu manakala pihak sekolah pula harus mengenakan tindakan disiplin sewajarnya tanpa kompromi.

Selain itu, program kesedaran dan ceramah antibuli perlu dilaksanakan secara konsisten di sekolah dan komuniti, melibatkan pakar psikologi, kaunselor serta bekas mangsa buli.

Artikel Berkaitan:

Sudah tentu peranan ibu bapa juga penting dalam isu ini termasuk memantau aktiviti anak-anak di luar waktu persekolahan.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu lebih peka terhadap sebarang perubahan tingkah laku anak selepas kejadian dan tidak membiarkan mereka menghadapi trauma sendirian.

Gejala buli yang berlaku di luar kawasan sekolah tidak boleh dianggap sebagai isu terpencil kerana ia mencerminkan kelemahan dalam kawalan sosial serta memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Langkah pencegahan yang menyeluruh, pendidikan nilai murni serta penguatkuasaan undang-undang secara tegas adalah kunci utama dalam membendung budaya buli daripada terus berleluasa dalam kalangan pelajar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!