UMP aktifkan pembelajaran dalam talian

Semua sesi pembelajaran dan pengajaran di kampus UMP akan dijalankan secara dalam talian.
Semua sesi pembelajaran dan pengajaran di kampus UMP akan dijalankan secara dalam talian.
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengubah kaedah operasi di kedua-dua kampusnya di Pekan dan Gambang berkuat kuasa semalam hingga 12 April 2020 berikutan pandemik terkini wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, sepanjang tempoh itu, mod pengajaran dan pembelajaran (PnP) diaktifkan menggunakan e-Learning secara dalam talian.

Menurutnya, semua sesi pembelajaran dan pengajaran akan dijalankan secara dalam talian.

"Semua aktiviti bersemuka seperti kuliah, makmal dan penyelidikan dihentikan serta-merta dan akan diselaraskan semula ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP.

Dr Wan Azhar berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai langkah proaktif memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan secara teratur dan sistematik.

 Dr Wan Azhar Wan Yusoff
Dr Wan Azhar Wan Yusoff

Katanya, dengan keputusan itu, semua staf akademik akan melaksanakan kaedah e-Learning dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran UMP (KALAM) pada masa kuliah sebenar dengan menggunakan mana-mana aplikasi talian yang bersesuaian.

Beliau berkata, staf akademik UMP disaran mendapatkan khidmat nasihat bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara e-Pembelajaran daripada pihak Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (CIReL) UMP bagi memastikan perkara itu dilaksanakan mengikut keperluan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"UMP menangguhkan semua program atau aktiviti membabitkan perhimpunan di dalam dan luar kampus universiti ini, selepas mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Selain itu, staf pentadbiran dan akademik juga dikehendaki melaksanakan kerja dari rumah kecuali staf yang menjalankan tugas-tugas berkaitan kepentingan universiti seperti keselamatan, kesihatan atau staf yang diarahkan bertugas," katanya.