Warga asing paling ramai disaman tak pakai tali pinggang keledar dalam bas

Penguat kuasa JPJ mengeluarkan saman kepada penumpang bas yang dikesan tidak memakai tali pinggang keledar. Foto JPJ
Penguat kuasa JPJ mengeluarkan saman kepada penumpang bas yang dikesan tidak memakai tali pinggang keledar. Foto JPJ
A
A
A

SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah mengeluarkan sebanyak 243 saman kepada penumpang bas ekspres dan bas persiaran yang dikesan tidak memakai tali pinggang keledar sepanjang bulan ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 171 saman dikenakan kepada penumpang warga asing dan 72 saman lagi kepada penumpang tempatan.

“Sebanyak 92 bas telah dinaiki oleh anggota JPJ yang membuat penyamaran bagi meningkatkan persepsi kemungkinan akan ditahan sekiranya melakukan kesalahan (Perception of Being Caught atau POBC) dalam kalangan pemandu dan juga penumpang bas.

“Bagaimanapun, masih terdapat penumpang yang mengabaikan aspek keselamatan dengan melanggar peraturan pemakaian tali pinggang keledar seperti yang ditetapkan dalam undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, daripada 92 bas yang dinaiki semasa operasi penyamaran itu, sebanyak 179 saman dikeluarkan kepada penumpang yang melakukan kesalahan berkenaan.

Tambahnya lagi, sebanyak 64 saman bagi kesalahan sama turut dikeluarkan semasa pemeriksaan mengejut dijalankan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“JPJ menasihatkan pemandu dan penumpang kenderaan supaya sentiasa mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar bagi tujuan keselamatan bersama.

“Penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan tahap kesedaran dan pematuhan meningkat dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!