Bila bukti lebih berharga daripada janji

BARU-baru ini, landskap politik Pahang kembali menjadi bualan apabila Perikatan Nasional (PN) melancarkan Jelajah Teraju Pahang 2.0 meliputi 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sebanyak 24 daripada kesemua 42 kawasan DUN di Pahang tersebut meliputi 17 kerusi yang dimenangi PN pada PRU15, dan tujuh lagi berpotensi dimenangi pada PRU akan datang.
Pada masa sama, Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) terus menggembleng usaha memastikan ‘bukti’ pembangunan sampai ke pintu rumah rakyat, sekali gus mengekalkan kepercayaan dan sokongan pengundi setia mereka.
Pada 16 Julai lalu, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan Pahang mencatat RM4 bilion pelaburan direalisasikan dan RM3.5 bilion komitmen pelaburan dalam tempoh enam bulan pertama 2025, menjadikan negeri ini sebagai yang tertinggi di Pantai Timur.
Statistik ini selari dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang 2024 sebanyak 5.7 peratus, melebihi purata nasional 5.1 peratus. Nilai ekonomi negeri turut mencatatkan RM68.7 bilion, satu petunjuk jelas bahawa negeri ini berada dalam kedudukan kompetitif.
Lebih signifikan, kutipan hasil negeri bagi tahun 2023 telah melepasi sasaran apabila mencatatkan RM1.164 bilion, berbanding sasaran asal RM1.083 bilion.
Angka‑angka ini bukan sekadar catatan atas kertas, sebaliknya ia diterjemahkan melalui pelbagai program kebajikan rakyat seperti Bantuan Prihatin Pahang dan insentif khusus bagi pasangan pengantin.
Bukan setakat ‘bukti’ dihantar kepada rakyat, BN dan PH Pahang turut menyasarkan projek pembangunan berimpak tinggi dan salah satunya ialah Zon Teknologi Tinggi di Gebeng, yang dirancang menarik syarikat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), automasi dan data.
PN juga tidak berdiam diri, sebaliknya menggerakkan usaha menerusi Jelajah Teraju Pahang 2.0 sebagai langkah memperkukuh jentera, selain membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan mereka mentadbir negeri.
Menurut Ketua Sekretariat PN Pahang, Datuk Andansura Rabu, siri jelajah itu menyasarkan seluruh kawasan Parlimen dan DUN sebagai persiapan menghadapi PRU akan datang. PN juga giat memperkukuh pengaruh, khususnya di kawasan majoriti Melayu dan Felda.
Terbaru, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar memaklumkan Program Himpunan Jentera 30K Teraju Pahang akan diadakan di DUN Jelai pada Oktober nanti.
Bertemakan Hogoh Jelai, program ini adalah simbolik kesungguhan PN untuk menembusi kawasan yang dilabel sebagai kubu kuat BN dan menguji sejauh mana kekuatan jentera serta pengaruh mereka di kawasan tradisi UMNO itu.
Menariknya, parti pemerintah negeri juga cuba menembusi kawasan lawan apabila merancang menganjurkan Himpunan Pahang Pilih BN yang dijadualkan berlangsung di DUN Cheka pada Oktober ini.
Bertemakan Hogoh Cheka Hogoh, program ini dijangka menjadi medan penting bagi menggerakkan kekuatan jentera dan memperkukuh semula pengaruh BN di kawasan yang dimenangi PN dalam PRU15.
Persaingan ini mengingatkan kembali kepada keputusan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober 2023, yang menjadi penanda aras sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan apabila BN mengekalkan kemenangan dengan majoriti 2,949 undi dan terbukti sokongan akar umbi masih sukar digugat.
Di sebalik gerakan politik kedua-dua pihak, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada pembangunan sektor strategik seperti pelancongan, pertanian, keusahawanan dan industri, termasuk pemuliharaan warisan menerusi projek geopark di Pekan, pusat konservasi di Cherating dan pembangunan mampan di Tioman.
Fokus ini sejajar dengan Belanjawan Negeri Pahang 2025 yang menyasarkan pertumbuhan holistik dan kemakmuran rakyat menerusi pelbagai inisiatif.
Penulis melihat kedua-dua pihak kini bermain rentak sama di mana PN dengan pendekatan politik akar umbi, manakala BN dan PH melalui pembangunan fizikal dan suntikan ekonomi yang memberangsangkan.
Namun, rakyat hari ini tidak lagi menilai berdasarkan siapa paling lantang berceramah, tetapi siapa yang mampu membuktikan janji mereka melalui jalan raya yang lebih baik, peluang pekerjaan untuk anak muda dan bantuan yang sampai ke tangan mereka.
Pendek kata, apa pun strategi parti, rakyat akhirnya akan menilai bukti, bukannya janji. Rekod pencapaian dan khidmat terbaik yang dinikmati rakyat terbanyak adalah lebih bernilai daripada sekadar kata-kata. Inilah sebenarnya yang akan menentukan undi hari esok.
* Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

